Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam percakapan usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, Selangor pada Rabu.

Di dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh MCMC, rakaman percakapan berkenaan adalah susulan aduan yang diterima pihaknya berhubung kandungan video teaser Hari Raya yang dimuat naik usahawan kosmetik itu, sebelum ini.

Setelah kertas siasatan siap, ianya akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Ini termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

IKLAN

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588].

Jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum denda maksimum RM50,000, atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

IKLAN

Pegawai penyiasat telah menyita kad sim dipercayai milik suspek serta satu unit telefon bimbit yang telah digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, perkongsian sedutan lagu raya berjudul Love Raya yang dikongsi oleh Aliff Syukri menerusi akaun Instagramnya mengundang pelbagai reaksi di kalangan netizen.

IKLAN

Aliff bagaimanapun menjelaskan video promosi lagu raya baharu itu hanyalah untuk ‘menyakat’ netizen sempena ‘April fool’.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil juga turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengambil tindakan bersesuaian berhubung sedutan klip video terbabit.

Ia susulan beliau mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna media sosial yang meminta tindakan diambil berhubung sedutan klip video itu yang dipercayai boleh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI