
Penyanyi dan pelakon Bella Astillah tiba di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya kira-kira jam 7.30 pagi tadi bagi memberikan sokongan kepada tunangnya yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Bella yang hadir mengenakan sepasang jubah berbunga rona putih dan biru serta diiringi ahli keluarganya berkata, dia sentiasa mendoakan yang terbaik buat tunangnya.
“Insya-Allah saya sentiasa mendoakan yang terbaik,” katanya.
Bagaimanapun, Bella memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai harapannya terhadap keputusan yang bakal diumumkan pagi ini.
“Tak apalah, buat masa sekarang tiada sebarang komen. Nanti tunggu dah habis nanti (keputusan),” katanya kepada MH.
Nasib Syed Saddiq sama ada kekal bebas atau diarahkan menjalani hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada akan diketahui pagi ini.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Abu Bakar Jais, Che Mohd Ruzima Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada jam 9 pagi.