
Pelakon Datin Lisa Surihani meluahkan rasa syukur apabila impiannya untuk menunaikan ibadah haji pada usia 40 tahun akhirnya dimakbulkan Allah SWT.
Menurut Lisa, sejak tahun 2022, dia tidak pernah putus berdoa agar diberi peluang menunaikan rukun Islam kelima itu bersama suami tercinta, Datuk Yusry Abdul Halim.
Bagaimanapun, pemergiannya ke Tanah Suci kali ini tidak ditemani suami dan dia percaya setiap ketentuan Allah SWT mempunyai hikmah yang tersendiri.
“Saya sangat bersyukur kerana segalanya adalah dengan izin Allah. Inilah antara doa yang saya minta bersungguh-sungguh sejak tahun 2022.
“Seperti semua sedia maklum, ada tiga cara untuk doa kita dimakbulkan. Doa saya juga sangat terperinci.
“Ketika itu, saya mohon supaya Allah izinkan saya untuk melaksanakan haji pada usia 40 tahun dan bersama suami. Allah makbulkan doa saya untuk pergi haji pada usia itu.
“Namun, Allah lebih mengetahui apa yang lebih baik. Walaupun pergi tanpa suami dan keadaan itu tidak menyenangkan, kita kena sentiasa bersangka baik,” katanya kepada MH.
Pelakon filem Istanbul Aku Datang itu berkata demikian ketika ditemui pada konsert separuh akhir Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2), baru-baru ini.
Lisa turut memaklumkan dia dan suami reda meskipun hasrat untuk sama-sama menunaikan ibadah haji tidak kesampaian.
“Allah Maha Mengetahui dan mungkin ada baiknya yang abang (Yusry) tak pergi, contohnya mungkin untuk menjaga anak-anak. Mungkin ada nikmat dan hikmah lain yang saya tak nampak.
“Namun, saya reda meski tidak dapat tunaikan haji dengan abang walaupun kita sudah ada perancangan tapi Dia yang Maha Menentukan.
“Jadi, saya beritahu pada abang, walau macam mana sekali pun, reda sebab Allah tahu yang terbaik,” ujarnya.
Berkongsi mengenai perubahan yang dirasai selepas menunaikan haji, Lisa berkata dia akan sentiasa berusaha menjadi insan yang lebih baik.
Malah, dia berharap segala kebaikan dan pengajaran yang diperoleh sepanjang berada di Tanah Suci dapat diterapkan dalam kehidupan hariannya.
“Kalau cakap tentang perbezaan hidup selepas tunaikan haji, pastilah saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik.
“Mungkin ini baru permulaan dan yang diharapkan adalah kita dapat imarahkan manasik (tata cara, panduan dan segala rukun) haji ke dalam kehidupan harian kita.
“Sebenarnya dalam kehidupan harian ini, kita sebenarnya boleh membawa pulang segala yang dipelajari sepanjang melakukan tawaf, sa’i, wukuf di Arafah dan melontar di Mina.
“Buat masa sekarang, mungkin terlalu awal untuk kata yang hidup sudah berubah kerana saya masih ke arah tersebut,” akhirinya.
Terdahulu, Lisa pada 12 Jun lalu selamat pulang ke tanah air selepas sebulan berada di Tanah Suci Mekah bagi menunaikan haji musim ini.
Sebelum ini, Lisa berangkat ke Mekah untuk menunaikan rukun Islam kelima itu bersendirian tanpa ditemani suami.
Difahamkan, rayuan permohonan visa haji Yusry ditolak sekali gus menyebabkan beliau tidak berpeluang menunaikan ibadah tersebut bersama isterinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini