
Tahniah diucapkan kepada tiga pempengaruh media sosial tanah air iaitu Mat Alip, Imranul Effendy termasuk penyanyi dan pelakon, Fareez Fauzi yang membuktikan bahawa mereka bukan sekadar jaguh di alam maya, apabila masing-masing dinobatkan sebagai juara All Star Championship 2025.
Kemenangan itu sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 serta trip eksklusif ke Dubai untuk mewakili Malaysia dalam siri pertarungan antarabangsa.
Pertandingan anjuran All Star Influencer Sdn. Bhd. ini memperlihatkan aksi sengit antara barisan pempengaruh popular yang bukan sahaja aktif di platform digital, malah menunjukkan ketahanan fizikal dan mental luar biasadalam arena sukan kompetitif.
Dalam kategori Flyweight, Mat Alip menewaskan Oyot dengan kelebihan teknik dan stamina, sementara Imranul Effendy menundukkan Amir dalam kategori Lightweight.
Anak kepada aktor senior, Fauzi Nawawi iaitu Fareez Fauzi pula mengungguli kategori Midweight selepas menumpaskan Sheikh Sonic dengan gaya penuh yakin.
Kejohanan turut diserikan dengan aksi persahabatan dua negara apabila Yusman Kusuma dari Indonesia berentap dengan Fahmi dari Malaysia, mencetus sorakan gemuruh dan semangat kesukanan sejati dalam kalangan penonton.

Usaha, Disiplin & Semangat!
Menurut penganjur All Star Championship, Datuk Abd Rahman Soltan, kejayaan kali ini membuktikan semangat luar biasa dalam kalangan peserta.
“Peserta berlatih bersungguh-sungguh walaupun ramai bermula dari kosong. Mereka bukan bermain-main. Disiplin dan semangat mereka benar-benar mengagumkan,” katanya.
Tambahnya lagi, kejohanan ini bukan sekadar pertandingan sukan, tetapi platform menggabungkan elemen kecergasan dan dunia digital, seiring dengan usaha mempromosikan pelancongan domestik melalui Tourism Malaysia dan MOTAC sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kejohanan ini membuktikan bahawa dunia sukan dan digital boleh bergerak seiring. Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi ruang untuk mendidik, menginspirasi dan menyemai semangat juang anak muda,” katanya lagi.
Sementara itu bagi Mat Alip, kemenangan ini menjadi bukti bahawa pempengaruh juga mampu bersaing di gelanggang sebenar.
“Saya mahu buktikan bahawa pempengaruh bukan sekadar di depan kamera, tetapi juga mampu beraksi di gelanggang sebenar,” ujarnya.
Imranul Effendy pula mengakui perjuangan ke podium kemenangan bukan mudah apabila terpaksa menurunkan berat badan daripada 75 kilogram ke 65 kilogram.
“Ia perjalanan yang sukar, tapi saya jadikan setiap cabaran itu sebagai motivasi. Kemenangan ini saya hadiahkan kepada ibu dan pasukan saya,” katanya.
Manakala Fareez Fauzi menyifatkan rezeki kemenangan itu sebagai ganjaran hasil usaha konsisten dan kepercayaan terhadap proses latihan panjang.
“Saya bermula tanpa banyak pengalaman dalam pertandingan seperti ini, tapi saya percaya dengan usaha konsisten. Hari ini, semua pengorbanan itu berbaloi,” katanya.
Ketiga-tiga juara kini bersiap untuk terbang ke Dubai, mewakili Malaysia di pentas antarabangsa yang seterusnya menjadi satu peluang besar untuk mengangkat nama pempengaruh tempatan di skop yang lebih besar.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
View this post on Instagram
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




