
Hubungan romantik antara penyanyi terkenal, Katy Perry dan aktor kacak, Orlando Bloom dilaporkan telah berakhir selepas hampir enam tahun bertunang.
Menurut laporan media antarabangsa, pasangan selebriti itu mengambil keputusan untuk berpisah secara baik dan kini memfokuskan kepada kebahagiaan anak perempuan mereka, Daisy Dove, yang kini berusia empat tahun setengah.
Desas-desus mengenai keretakan hubungan mereka mula tersebar awal tahun ini apabila Katy dilihat tidak lagi mengenakan cincin pertunangannya.
Malah, penyanyi Roar itu dikatakan telah memberitahu rakan-rakan rapatnya bahawa hubungan mereka telah ‘berakhir secara asasnya’ sejak Januari lalu.
Orlando pula kelihatan hadir bersendirian ke majlis perkahwinan bilionair Jeff Bezos dan Lauren Sánchez di Venice baru-baru ini, sekali gus menguatkan spekulasi bahawa mereka bukan lagi pasangan.
BACA JUGA: Bekas Suami Katy Perry, Russell Brand Didakwa Lakukan Kesalahan Seksual Terhadap Empat Wanita
Difahamkan, keputusan untuk menamatkan pertunangan dibuat selepas mereka berdepan kesukaran menyelaraskan jadual kerja masing-masing. Katy kini sedang sibuk menjayakan siri konsert jelajah antarabangsa manakala Orlando pula terikat dengan penggambaran filem di luar negara.
Bagaimanapun, kedua-duanya dilaporkan masih mengekalkan hubungan baik demi anak mereka. Sumber terdekat menjelaskan, “Mereka berpisah secara damai dan masih bertangungjawab sebagai ibu bapa.”
Pasangan ini mula menjalinkan hubungan pada tahun 2016 dan mengikat tali pertunangan pada Hari Valentine tahun 2019. Sepanjang bersama, mereka sering tampil di acara-acara besar dan dikenali sebagai antara pasangan paling sepadan di Hollywood.
Perpisahan ini nyata mengejutkan ramai peminat yang menyifatkan mereka sebagai pasangan ideal industri hiburan antarabangsa. Namun begitu, baik Katy mahupun Orlando, mereka belum mengeluarkan kenyataan rasmi di media sosial berkenaan status hubungan mereka setakat ini.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI