Menjadi kumpulan yang sering mendapat markah undian peminat tertinggi setiap minggu, Chubb-E menolak dakwaan peminat mengundi semata-mata berdasarkan rupa paras dalam program hiburan, Dansa Dan Sing.

Jelasnya, dia dan Zeppo Youngsterz tidak bersandarkan pada rupa semata.

Sebaliknya, setiap minggu setiap daripada ahli kumpulannya memberikan yang terbaik di atas pentas rancangan hiburan yang berteraskan tarian dan nyanyian itu.

“Syukur kerana peminat mengundi kami setiap minggu. Jika dikatakan mereka mengundi kerana kami comel, itu merupakan bonus.

“Namun saya yakin mereka mengundi kerana persembahan. Kami tidak kacak atau comel mana. Kami fokus memberikan persembahan terbaik.

IKLAN

“Sudah masuk minggu kelima, semua otot-otot saya sudah mula hidup kerana saya bukanlah penari. Saya boleh menari tapi bukan seorang penari,” jelasnya kepada MH.

Penyanyi berusia 20 tahun ini turut meluahkan kegusaran apabila menyentuh akan keputusan tiada penyingkiran bagi minggu kelima.

Walaupun rasa lega, namun dia tidak dapat meramal apa yang akan berlaku pada minggu berikutnya.

IKLAN

“Apabila tiada penyingkiran, saya lebih risau kerana kita tidak tahu apa yang bakal berlaku, berapa pula penyingkiran yang akan dilakukan. Tekanan semakin bertambah,” jelasnya.

Pada minggu kelima saingan, dia dan para penarinya memperoleh tempat pertama pada minggu kelima dengan jumlah markah 108.97 peratus.

IKLAN

Arja Lee terselamat daripada disingkir apabila mendapat jumlah markah terendah daripada undian online dan markah juri profesional dengan hanya mencatat 78.47 peratus.

Dansa Dan Sing menggabungkan elemen tarian dan seni suara itu menampilkan barisan juri tetap yang terdiri daripada Linda Jasmine dan Datuk Rizalman Ibrahim, manakala Mark Adam selaku juri jemputan.

Tujuh kumpulan masih lagi meneruskan saingan antaranya Sophia Liana, Chubb-E, Shiha Zikir, Waris, Wani Kayrie dan Raja Syahiran.

Program ini dihoskan oleh Sherry Al-Hadad dan Hady Mirza dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap Ahad, jam 9.00 malam bermula 5 Januari lalu.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI