“Kami Bersedia Menganjurkan Dalam Norma Baharu,” – Sepatutnya Februari, AJL35 ‘Live’ Di TV3 Pada 14 Mac Depan!

Ekoran daripada pengumuman penundaan Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) bulan lalu, AJL35 kini dijadualkan bersiaran secara langsung tanpa penonton pada hari Ahad, 14 Mac 2021, 9 malam di Auditorium MBSA, Shah Alam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh pihaknya sudah bersedia untuk melangsungkan anugerah muzik berprestij itu dalam situasi yang baru.

“Kami telah bersedia untuk menganjurkan AJL35 dalam norma baharu. Penularan Covid-19 ini membuatkan kami lebih menitik beratkan kesihatan kakitangan, artis-artis serta mereka yang terlibat menjayakan produksi ini.

“Dalam situasi penularan pandemik ini, kami akan memanfaatkan kebenaran serta kelonggaran yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah berkuatkuasa bermula 8 Januari lalu.

“Bila mendengar keputusan tersebut, perancangan teliti dibuat untuk memastikan kelancaran acara tahunan berprestij ini dan merancang untuk menganjurkan AJL35 pada 14 Mac 2021.

IKLAN

“Walau bagaimanapun, tarikh tersebut bukanlah tarikh muktamad kerana kami perlu akur dengan sebarang ketetapan yang bakal diumumkan oleh pihak MKN dari semasa ke semasa berkaitan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

 

Terdahulu, AJL35 yang bakal dihoskan oleh Sherry Alhadad, Haziq Hussni dan Awal Ashaari ini telah dijadualkan untuk bersiaran pada 7 Februari 2021 di Auditorium MBSA, Shah Alam, sebelum pengumuman penundaannya yang disebabkan oleh pelanjutan tempoh PKP.

Tarikh baharu AJL35 ini juga telah disebut oleh Awal Ashaari ketika bersiaran secara langsung dalam Melodi, Ahad lalu.

Saksikan juga Debaran AJL35, sebuah program khas berdurasi satu jam bersama Sherry Alhadad dan Haziq Hussni yang menyingkap setiap sudut persiapan AJL35.

Debaran AJL35 ini akan disiarkan secara langsung pada pukul 5.30 petang, Sabtu, 13 Mac 2021 di TV3.

IKLAN

Selain itu, para penonton di rumah berpeluang untuk saksikan temu bual eksklusif di karpet merah yang digelar Lounge AJL35 bersama Muaz Mohamed (Kool FM) dan Sissy Imann pada hari Sabtu, 14 Mac 2021 pada pukul 8.30 malam di TV9.

Layari  www.anugerahjuaralagu.com serta laman media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter TV3 Malaysia dan Senang Terhibur untuk maklumat lanjut.

Sebanyak 12 lagu diumumkan layak ke AJL tahun ini iaitu Belenggu Rindu nyanyian Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah, 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta), Hati (Hael Husaini), Semalam (Aina Abdul), Peluang Kedua (Hael Husaini), Hutang (Floor 88), Kau Sakiti (Amir Masdi) dan Gundah (Ernie Zakri).

Empat lagu lain yang turut mara ialah Aku Bidadari Syurgamu (Aishah), Gila (Kaka Azraff, Noki dan Tuju), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter) dan Eh (Zizi Kirana).

Foto: TV3