Berita

“Kalau Pegang Jawatan Rasmi, Saya Akan Tinggalkan Dunia Seni,” – KJ Tegas Pisahkan Politik & Industri Kreatif

Share

Ahli politik, Khairy Jamaluddin mengakui dirinya bersedia untuk meninggalkan kerjaya dalam industri kreatif sekiranya diberikan mandat untuk memegang jawatan rasmi pada masa akan datang.

Menurut Khairy atau lebih mesra disapa KJ, seseorang pemimpin perlu mengutamakan tanggungjawab terhadap rakyat dan memastikan tiada pertindihan antara tugas rasmi dengan penglibatan dalam bidang lain demi menjaga profesionalisme serta persepsi masyarakat.

Perlu Pisahkan Dunia Politik & Seni

“Seperti Datuk Afdlin katakan, kami ada persamaan dan berbezaan juga. Beliau masuk ke dunia politik, saya pula ke dunia seni. Pada saya, untuk peranan tertentu, mungkin kerjaya ini boleh dicampuradukkan.

“Bila tiada jawatan rasmi atau menjadi ahli biasa, tiada masalah untuk saya terlibat di dalam dunia industri kreatif ini.

“Namun, jika satu hari nanti saya mendapat jawatan rasmi, saya kena pisahkan dua dunia ini. Saya tak boleh campuradukkan.

“Saya kena menjaga profesionalisme dan persepsi orang ramai. Nanti mereka akan keliru sama ada saya ini pelakon atau wakil rakyat,” katanya kepada MH.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem 5 Bomoh yang berlangsung di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Filem arahan Syed Fariz itu turut menjadi debut pertama Khairy di layar perak.

Debut Filem Pertama, Banyak Perkara Dipelajari

Mengulas lanjut mengenai penglibatannya dalam filem tersebut, Khairy menyifatkan pengalaman berlakon dalam 5 Bomoh sebagai satu peluang baharu yang membuka ruang untuk dirinya memahami dengan lebih dekat proses pembikinan sesebuah karya.

“Ini kali pertama kali saya berlakon untuk karya filem. Sebelum ini, saya ada berlakon untuk filem pendek dan iklan. Namun, saya tak pernah terlibat untuk sebuah filem yang panjang.

“Banyak perkara yang saya belajar kali ini. Bila tawaran itu datang, ia bukanlah watak utama. Jadi, saya merasakan diri saya boleh bawa watak ini. Kalau kena bawa watak utama, mungkin saya tiada pengalaman.

“Lagipun, watak Mr. Kay itu sangat sesuai dan tidak jauh daripada perwatakan yang ada pada saya. Sebab itu juga saya bersetuju. Saya juga nampak filem ini sangat menarik khusunya buat keluarga,” kongsinya lagi.

Pada masa sama, Khairy turut menolak tanggapan segelintir pihak yang memandang rendah terhadap industri kreatif dan menganggap bidang tersebut tidak memberikan impak besar kepada negara.

“Itu pandangan yang salah. Ekonomi kreatif ini memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negara dan keluaran dalam negara kasar.

“Bukan hanya sekadar tiket yang dibeli tapi penjanan daripada industri perfileman itu sendiri. Saya sendiri dapat melihat proses rakaman dan penerbitan. Ia melibat orang yang ramai.

“Bagi saya, industri kreatif ini sangat berbaloi jika kita mahukan sokongan dan pelaburan daripada kerajaan.

“Ia bukan hanya menjana ekonomi dalam negara, jika sudah popular seperti di Korea Selatan, ia akan menjana pendapatan yang besar. Mereka mampu jual karya mereka di seluruh dunia,” akhirinya.

Terdahulu, filem 5 Bomoh bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun ini.

Selain Khairy, filem ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Aaron Aziz, Scha Alyahya, Johan Raja Lawak, Afdlin Shauki, Amy Search dan ramai lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf