Berita

“Kalau Mereka Tak Senyum, Reda Je…,” – Zarul Tak Setuju Kru Kabin Dedah Fasal Artis Sombong Dalam Kapal Terbang

Share

Penyanyi Zarul Husin kurang bersetuju dengan tindakan segelintir kru kabin yang berkongsi pengalaman mengenai sikap sesetengah artis yang didakwa sombong dan kurang mesra ketika menaiki kapal terbang.

Menurut Zarul, sepanjang pengalamannya ketika masih bertugas sebagai pramugara, dia juga pernah berdepan situasi sama.

Bagaimanapun, perkara tersebut tidak seharusnya diperbesarkan sehingga menjadi bahan bualan di media sosial, bagi pendapat Zarul.

Zarul Berpendapat Perlu Layan Semua Penumpang Sama Rata

Tambah penyanyi lagu Ramalan Ku Benar Belaka itu lagi, kru kabin sepatutnya memberikan layanan sama rata kepada semua penumpang tanpa membezakan status mereka sama ada artis atau orang biasa.

Baca Artikel Lain;

https://www.mediahiburan.my/kalau-tanya-sebabnya-saya-pun-tak-tahu-zarul-hormat-keputusan-rakan-podcast-keluar-dari-borak-dalam-galley/

https://www.mediahiburan.my/saya-uruskan-penumpang-mabuk-macam-ni-la-lelaki-buat-gangguan-dalam-pesawat-mh122-zarul-umbrella-puji-pilot-anak-kapal-mas/

“Ketika masih menjadi pramugara, saya pernah berhadapan dengan artis yang kurang mesra. Namun, pada saya, itu adalah hak masing-masing. Sebagai artis, saya pun faham lenggok bahasa mereka yang seperti tidak mahu diganggu.

“Itu adalah hak mereka. Saya kurang bersetuju dengan komen-komen segelintir anak kapal yang melabelkan artis itu sombong ketika dalam kapal terbang.

“Sebagai kru kabin, anda tidak boleh membezakan layanan terhadap penumpang. Artis atau tidak, mereka tetap pelanggan kita. Kita kena layan sama rata. Kalau mereka tak senyum pun, kira reda sahaja.

“Sekarang merupakan zaman media sosial. Semua orang nak memberikan pendapatan dan mencari perhatian,” katanya kepada MH.

Zarul berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Seribu Rahmat Umbrella, baru-baru ini.

Dedah Kisah Penumpang Boleh Dikenakan Tindakan?

Dalam pada itu, Zarul turut menegaskan tindakan memuat naik kisah atau gelagat pelanggan di media sosial sebenarnya menyalahi etika kerja dan boleh membawa implikasi serius terhadap kru kabin terbabit.

“Mengikut peraturan, itu merupakan tindakan yang salah. Segala tindak tanduk penumpang adalah hak peribadi. Kalau penumpang buat aduan, kru kabin ini boleh dikenakan tindakan.

“Mereka pelanggan. Sudah tentu mereka tidak bersetuju jika kisah mereka dimuat naik di media sosial. Kalau kru kabin nak ambil gambar penumpang pun, dikira tak boleh.

“Kalau kabin nak ambil gambar dengan artis, kita kena minta kebenaran. Kalau nak ambil untuk simpanan sendiri, itu okay. Kalau nak muat naik di media sosial, pihak komunikasi korporat pasti akan cari kita.

“Perkara ini turut melibatkan isu keselamatan yang boleh memberikan kesan terhadap perjalanan kapal tersebut. Jika ikut etika, perbuatan seperti ini sebenarnya salah,” ujarnya.

Sejak kebelakangan ini, ramai pengguna media sosial berkongsi pengalaman mereka bertemu artis di tempat awam termasuk ketika berada di dalam kapal terbang.

Malah, ada juga individu yang bekerja dalam sektor penerbangan tampil berkongsi pengalaman masing-masing, sama ada pengalaman manis mahupun rasa terkilan terhadap sikap segelintir artis yang didakwa kurang mesra.

Dalam perkembangan lain, Umbrella bakal mengadakan Konsert Seribu Rahmat Umbrella yang akan berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia pada 6 Jun ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Kredit Foto: Instagram Zarul Umbrella

Published by
Aizam Manaf