
Pelakon dan pemuzik, Eric Fuzi berpandangan campur tangan berlebihan daripada segelintir ibu kepada artis muda boleh menjadi antara faktor yang menghalang perkembangan kerjaya anak mereka dalam industri seni.
Menurut Eric, sepanjang pengalamannya bergiat aktif dalam dunia seni sejak usia kanak-kanak, bakat semata-mata tidak mencukupi sekiranya wujud isu membabitkan sikap atau kerenah individu yang menguruskan artis tersebut.
Pandangan itu disuarakan oleh anggota kumpulan Floor 88 itu menerusi satu hantaran di aplikasi Threads.
“Sepanjang aku berkecimpung dalam industri seni seawal tujuh tahun sampai sekarang, aku perhati kalau bakat seseorang tu power macam mana pun, tapi ada ‘Mak Artis’ problem, banyak yang kecundang,” tulisnya.
Dalam masa sama, Eric turut menitipkan nasihat kepada ibu bapa atau penjaga agar lebih bersikap tenang dan tidak terlalu mengangkat anak sendiri seolah-olah mereka sahaja yang memiliki bakat luar
Menurutnya, sikap sedemikian boleh mengganggu proses kematangan anak-anak, sekali gus menjejaskan perjalanan kerjaya mereka dalam industri hiburan.
“Jadi, kepada mak-mak artis ni, relax sikit. Bukan anak kau sorang sahaja yang power. Sayang, kesian dekat anak kau,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut bersetuju dengan pandangan yang dikongsikan Eric. Mereka berharap golongan ibu bapa memberi lebih ruang kepada anak-anak untuk menguruskan kerjaya seni secara profesional.
Antara komen yang ditinggalkan ialah:
“Elok juga ada orang lama dalam industri ini tegur sikit dekat ibu bapa yang ada anak baru masuk dunia hiburan ini. Cubalah jaga perangai sikit wahai acik-acik. Anak kau baru ibu jari kaki je jejak dalam industri tapi kau punya merentan macam anak kau dah international.”
“Betul sangat. Anak ada potensi, kerana penangan kelantangan mak-mak, membunuh karier anak sendiri.”
“Senang cerita, bila masuk dalam industri, keluarga sokong senyap-senyap sahajalah.”
“Setuju. Ada event yang kami supply sound, ada mak-mak yang lebih sudu dari kuah. Anak baru nak belajar perform mak dah melebih-lebih. Soundman pun dia nak sound.”
Setakat ini, hantaran tersebut telah meraih lebih 2,000 tanda suka daripada warga net.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram & Threads Eric Fuzi