Berita

Jep Sepahtu Hantar DM Ke Cristiano Ronaldo, Minta Perkemas Teknik Serangan – “Fokus ‘Shot On Terget’, Tandukan Jadi Senjata.”

Share

Pelawak Jep Sepahtu mencuri perhatian apabila menitipkan nukilan istimewa menerusi ruangan Direct Message (DM) Instagram buat pemain bola sepak kegemarannya, Cristiano Ronaldo yang bakal mengetuai cabaran Portugal di kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.

Menurut Jep, dia merupakan antara jutaan peminat yang mengharapkan Ronaldo dapat menjulang trofi paling berprestij itu bersama Portugal sebelum menamatkan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

Harap Portugal Mampu Julang Trofi

Bagaimanapun, Jep berpandangan Ronaldo perlu menyesuaikan diri dengan perubahan era bola sepak moden memandangkan kemampuannya kini tidak lagi sama seperti ketika berada di kemuncak prestasi suatu ketika dahulu.

“Dear Ronaldo, saya salah seorang daripada berbillion peminat anda. Saya betul-betul mengharapkan Portugal dapat menjadi juara kali ini.

“Namun, awak kena tahu, awak bukanlah pemain yang sama seperti satu ketika dahulu. Kepantasan awak sudah berubah dan gelecekkan awak kini boleh diramal,” tulisnya.

Jep berkongsi hantaran tersebut menerusi Instagram pada Jumaat.

Fokus Penyudah & Tandukan

Dalam pada itu, suami kepada pelakon Sari Yanti itu turut berpendapat Ronaldo perlu memberikan tumpuan terhadap aspek penyudah sebagai seorang penyerang, khususnya dalam menghasilkan percubaan tepat ke arah gawang.

“Untuk Piala Dunia 2026 ini, saya harap awak memberikan fokus untuk membuat percubaan tepat ke gawang dan tandukkan sepatutnya kekal menjadi senjata utama awak.

“Kekalkan dua perkara ini sahaja,” kongsinya lagi.

Pada masa sama, Jep sempat berseloroh dengan mengharapkan Ronaldo membalas mesejnya sekiranya Portugal berjaya muncul juara dunia pada edisi kali ini.

“Saya tahu awak sibuk sekarang. Tak perlu balas DM saya. Balaslah selepas awak menang piala itu,” selorohnya.

Terdahulu, Portugal yang menghuni Kumpulan L bakal memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan menentang Republik Congo pada 18 Jun ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Sumber & Credit Foto: Instagram Jep Sepahtu & Cristiano Ronaldo

Published by
Aizam Manaf