
Jazmy
Drama bersiri terbaharu, Yes! Captain Zul Aaryan yang mula menemui penonton sejak 10 Julai lalu tampil dengan 30 episod terbitan Zamriez Golden Picture Sdn. Bhd., hasil nukilan Rozie Rashid dan diarahkan oleh Nizam Zakaria.
Selain dibintangi Jazmy Juma dan Anna Jobling sebagai teraju utama, karya ini turut menampilkan Natasha Sass, Nafiz Muaz, Daniel Fong serta barisan pelakon lain.
Ia mengisahkan Zul Aaryan (Jazmy Juma), seorang juruterbang yang juga CEO, yang memilih untuk menutup pintu hatinya selepas dikhianati bekas kekasih.
Namun, kehidupannya berubah apabila bertemu Zara Andrea (Anna Jobling), seorang pelatih praktikal yang berani dan tidak mudah tunduk kepada sesiapa.
Pertemuan yang bermula dalam suasana tegang menemukan dua individu yang sering bertentangan pendapat dan sukar mencapai kata sepakat.
Ketika hubungan mereka terus diuji dengan pelbagai konflik, tekanan keluarga akhirnya menyatukan mereka dalam satu ikatan yang tidak pernah dijangkakan.
Di sebalik pertelingkahan, sindiran dan ego yang sering menjadi penghalang, benih cinta mula hadir tanpa mereka sedari.
Berkongsi mengenai pengalaman membawakan watak utama dalam drama arahan Nizam Zakaria itu, Jazmy Juma mengakui watak Captain Zul Aaryan cukup bermakna buat dirinya kerana berjaya merealisasikan salah satu impiannya sebagai pelakon.
“Captain Zul Aaryan ialah watak yang sangat menarik dan saya bersyukur kerana diizinkan serta diberi peluang menghidupkan karakter ini di skrin.
“Membawakan watak seorang juruterbang juga merupakan antara impian dalam bucket list saya sebagai pelakon.
“Alhamdulillah, melalui watak ini saya dapat merasai sendiri tanggungjawab dan peranan seorang captain, selain mengeluarkan sisi seorang captain dalam diri saya.
“Anna pula rakan gandingan yang sangat baik dan keserasian yang terjalin sepanjang penggambaran banyak membantu dalam menjayakan setiap babak.
“Harapnya penonton bersedia menaiki penerbangan Captain Zul Aaryan ini kerana tidak semua penerbangan melalui langit yang cerah, begitu juga perjalanan Zul Aaryan dan Zara Andrea,” katanya.
Baca Artikel Lain;
Sementara itu, Anna Jobling menyifatkan Yes! Captain Zul Aaryan bukan sekadar memaparkan kisah cinta, sebaliknya mengetengahkan perjalanan emosi yang dekat dengan kehidupan.
“Pada saya, kekuatan cerita ini terletak pada perjalanan emosi setiap watak. Hubungan Zul Aaryan dan Zara Andrea tidak terus berubah dalam sekelip mata.
“Sebaliknya berkembang melalui pelbagai konflik, salah faham dan detik yang mengajar mereka tentang kepercayaan, pengorbanan serta kasih sayang. Saya harap penonton dapat menikmati perjalanan itu bersama kami,” katanya.
Mengulas mengenai pendekatan arahannya, Nizam Zakaria pula menjelaskan drama ini membawa penonton menyelami dunia penerbangan yang menjadi latar utama kepada perjalanan cinta Zul Aaryan dan Zara Andrea.
“Kami mahu dunia penerbangan benar-benar terasa hidup di layar. Sebab itu, penggambaran dijalankan di pelbagai lokasi termasuk kokpit, pesawat, hangar dan lapangan terbang bagi memberikan pengalaman yang lebih realistik.
“Setiap visual disusun untuk menyokong perkembangan emosi watak dan membawa penonton mengikuti setiap perjalanan bersama Zul Aaryan dan Zara Andrea dari awal hingga akhir,” kongsinya.
Yes! Captain Zul Aaryan
bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam menerusi slot Akasia dan penonton juga boleh mengikuti episod baharu secara eksklusif di iQIYI sejam selepas siaran di TV3 menerusi laman web atau aplikasi iQIYI.Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.