“Jangan Cari Kesempurnaan, Nanti Diri Sendiri Kecewa,” – 16 Tahun Semai Rasa Cinta, Datuk Fazley Yaakob & Isteri Sentiasa Berusaha Jadi Yang Terbaik

Share

Artis versatil yang juga merupakan chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan isteri yang sentiasa ada bersamanya meskipun sudah hampir 16 tahun menyemai rasa cinta.

Menurut Fazley, sepanjang tempoh perkenalan tersebut, pelbagai pengalaman telah ditimba oleh mereka demi kebaikkan bersama.

“Masuk tahun #2021 ni bermakna kami dah 16 tahun bercinta. Pelbagai pengalaman ditimba, masing-masing berusaha menjadi yang lebih baik untuk each other. Bak kata arwah bapak, “Takkan ada kapal yang tak dilanda ombak dan badai”.

“Kami masih menjadi sahabat baik, kekal menjadi pengkritik terhebat masing-masing, tetap menjadi penyokong di setiap kekuatan, dan redha dengan setiap kelemahan,” tulisnya.

Dikesempatan itu, menerusi perkongsian di Instagram, Fazley turut dilihat ada menitipkan nasihat buat mereka yang masih belum dipertemukan jodoh dan juga buat mereka yang baru sahaja menempuh alam perkahwinan.

“Buat kalian yang masih mencari jodoh, percayalah, jodoh itu sedang menunggu, namun usaha jangan pernah berhenti. Jangan terlalu mencari kesempurnaan, kerana nanti diri sendiri yang bakal kecewa.

“Bila jodoh belum sampai, tak perlu salahkan mengapa orang tak suka kita, tapi kita sendiri yang mungkin mudah mencari salah orang lain.

“Buat kalian yang sedang di alam perkahwinan, tidak ada manusia sempurna untuk diri kita, melainkan kita sendiri menerima kelemahan pasangan kita, serta meraikan kelebihan pasangan kita, walaupun kelebihan itu hanya sekecil anggur berbanding dengan bekas-bekas kekasih kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, penyanyi lagu, Bila April ini turut berkongsi ucapan penghargaan buat isterinya yang sentiasa berusaha melakukan yang terbaik buat dirinya dan juga keluarga.

“Cinta tak semestinya bersatu, tak cukup menyintai pula tak bermakna tak boleh bersatu. Terima kasih Adik Sayang @azrene_ahmad kerana sentiasa berusaha menjadi yang terbaik untuk abang dan anak-anak kita,” akhirinya.

Untuk rekod, Fazley dan isterinya, Datin Azrene Ahmad telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 7 November 2007.

Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan ini telah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz, Ahmad Fieradz, Ahmad Fierudz dan Alayna Selma.

Sumber: Instagram Datuk Fazley Yaakob

 

IKLAN