
Pelakon Lorenzo Irmann tenang dan bersikap terbuka walaupun kemunculannya dalam video muzik Question nyanyian kumpulan Dolla tidak dapat bertahan lama.
Muzik video tersebut diturunkan daripada semua platform digital selepas ada yang mengkritik ia tidak sesuai serta boleh menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton tempatan.

“Itu memang hasil kerja saya dari malam hingga ke pagi. Siapa sahaja tak penat bila bekerja. Lagipun, projek ini juga merupakan ‘comeback’ daripada Dolla setelah sekian lama.
“Peminat juga memang sangat menantikan muzik video terbaharu mereka ini. Bila siap penggambaran, hasil akhirnya sangat cantik. Pada saya, visualnya juga sempurna.
“Namun, kita tidak boleh nak menafikan, dalam setiap perkara yang hampir sempurna, pasti ada khilafnya juga yang kita sendiri mungkin tak sedar,” katanya kepada MH.
Lorenzo berkata demikian ketika ditemui sewaktu menjadi tetamu undangan program Meletop di Astro Bukit Jalil, pada Selasa.
Fahami Sensitiviti, Hormati Keputusan
Jelas pelakon drama Impiana: Karma itu lagi, sebagai anak seni, mereka perlu peka terhadap keresahan masyarakat, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan teguran daripada pihak berwajib.

“Kita juga tak boleh nak endahkan pandangan orang lain. Hal ini pun berkait dengan agama. Malah, pihak berwajib juga ada memberikan komen kerana perkara ini sudah sampai ke pengetahuan mereka.
“Hal ini juga sudah menjadi isu dan tindakan yang mereka ambil itu memang di luar bidang kuasa pihak lebel, Dolla dan saya sendiri.
“Sedikit sebanyak saya rasa agak kesal juga kerana tak dapat nak tengok lagi muzik video itu. Apapun, kita tetap kena hormat keputusan pihak berwajib. Itu paling penting,” ujarnya lagi.
Lorenzo turut memaklumkan, dia hanya mengetahui mengenai penarikan semula muzik video tersebut selepas berita itu tular di media sosial.

“Saya tidak dimaklumkan apa-apa mengenai perkara itu. Tugas saya hanyalah untuk muncul di dalam muzik video sahaja. Jadi, saya tak tahu video itu telah diturunkan.
“Saya tahu pun bila isu itu diperkatakan di aplikasi Thread,” kongsinya lagi.
Sebelum ini, Universal Music Malaysia mengambil keputusan untuk menurunkan video muzik Question sebagai langkah bertanggungjawab bagi menjaga sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Penampilan Dolla dalam muzik video berkenaan turut mengundang perhatian hingga ada yang menganggap gaya fesyen mereka terlalu mencolok mata.
Kontroversi tersebut turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




