
Pelakon, Irma Hasmie memilih untuk terus berdiam diri mengenai status dirinya, sama ada masih solo atau sudah kembali berumah tangga.
Menurut Irma, banyak hati yang perlu dijaga dan dia berpendapat hal peribadi tidak seharusnya dijadikan tatapan umum.

“Saya memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai perkara ini. Saya tidak mahu menimbulkan hal yang tidak sepatutnya.
“Saya juga perlu menjaga hati keluarga dan anak-anak.
“Bila sudah dewasa ini, kita perlu fikirkan keluarga besar. Ibu bapa saya pula sudah tiada.
“Saya perlu fikir tentang bapa saudara, ibu saudara dan ahli keluarga yang lain. Saya tidak mahu memeningkan mereka,” katanya kepada MH.
Irma berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Hayya 3: Gaza yang berlangsung di TGV, Pavilion Bukit Jalil pada Jumaat.
Ditanya sama ada dia akan berkongsi momen bahagianya satu hari nanti, Irma ada pandangannya sendiri.

“Apa sahaja yang saya katakan, orang akan tetap bercakap. Lebih baik saya diam sahaja.
“Mana yang tahu, tahulah. Perkara ini bukanlah untuk diuar-uarkan,” ujarnya lagi.
Terus Kuat Demi Anak-Anak, Serah Segala PadaNya
Menyentuh soal kehidupannya selepas bercerai dengan bekas suami, Redza Syah Azmeer, Irma mengakui segalanya masih berada dalam keadaan baik meskipun tidak mudah untuk dilalui.

“Alhamdulillah, bukan nak kata perkara itu mudah. Tetap ada kesukarannya tapi begitulah kehidupan. Walau bagaimanapun, ujian tetap ada dan kita tak boleh lari.
“Kita kena hadapinya dengan tenang. Walaupun ada waktunya kita rasa sedih, kita kena tetap cari kekuatan. Kita tak boleh bersedih terlalu lama. Kita kena cari jalan dan usaha untuk terus bangkit,” kongsinya.
Malah Irma pada masa sama percaya, kekuatannya datang daripada keyakinan bahawa Allah SWT sentiasa bersama dalam setiap langkah kehidupan.

“Saya hanya berserah kerana saya percaya Allah sentiasa ada bersama kita. Saya juga yakin rezeki itu tidak pernah tidak ada.
“Hanya Allah Yang Maha Kaya. Jangan terlalu fikir yang negatif. Kita kena sentiasa positif.
“Sebelum saya berhijrah, saya tak lakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh seorang Muslim namun, Allah tetap berikan saya rezeki.
“Jadi, kalau kita terus berusaha untuk menjadi lebih baik dan mencari ilmu, tak mungkin Allah akan tinggalkan kita bila kita mencari Dia,” akhirinya.
Untuk rekod, Irma pernah mendirikan rumah tangga dengan Redza Syah Azmeer pada 2012.
Pasangan itu dilaporkan berpisah sekitar Disember 2023 sebelum mengumumkan perkara tersebut enam bulan kemudian.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syed Irfha, 12, dan Irma Nur Naylie, 11, yang difahamkan kini berada di bawah jagaan Irma.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




