Berita

Hussain Bersuara Selepas Persembahan Lagu Inggeris Jadi Perhatian – “Saya Faham Bukan Semua Orang Akan Menerima…”

Share

Peserta program realiti Big Stage Rocketfuel, Hussain tampil memohon maaf sekiranya persembahannya menerusi lagu Here Without You Baby malam tadi menghampakan segelintir pihak.

Menurut Hussain, dia memahami bukan semua penonton dapat menerima pendekatan dan konsep yang dibawakan ketika menyampaikan lagu tersebut.

Menerusi hantaran terbaharunya di Threads, penyanyi muda itu menjelaskan persembahan tersebut merupakan interpretasi peribadi berdasarkan pemahaman dan kreativiti tersendiri.

Hormati Setiap Pandangan

“Saya faham bukan semua orang akan menerima cara saya menyampaikan lagu ini, dan saya hormati setiap pandangan.

“Niat saya bukan untuk mempermainkan lagu, tetapi untuk menceritakan kisahnya melalui konsep yang saya percaya.

“Terima kasih kepada semua yang memberi teguran dan juga yang terus menyokong saya.

“Saya akan terus belajar, memperbaiki diri, dan memberikan yang terbaik di setiap persembahan,” kongsinya lagi.

Hussain pada masa sama turut menitipkan pesanan kepada para netizen agar terus memberikan sokongan bukan sahaja kepadanya, malah kepada semua peserta yang bertanding.

Raih Sokongan Peminat

Terdahulu, persembahan Hussain pada minggu ketiga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penonton apabila konsep yang diketengahkan dilihat berbeza daripada versi asal lagu Here Without You nyanyian kumpulan rock Amerika, 3 Doors Down.

Berikut antara komen netizen;

“Mana ada Hussain ‘perform’ main-main. Best je Hussain nyanyi semalam.

“Kami sebagai peminat akan selalu sokong dan percaya bakat awak. Kita semua manusia okay? Ada naik ada turun.

“Terus kuat, Hussain. Jangan pernah berhenti percaya pada diri sendiri.

“Siapa cakap Hussain mempermainkan lagu? Awak dah buat yang terbaik malam tadi.

“Di mata telinga saya, tiada cacat cela persembahan Hussain. Saya doakan agar Juara Big Stage 2026 menjadi milik Hussain”.

Saingan malam tadi juga turut Hussain sekali lagi dinobatkan sebagai penerima anugerah Rocketstar Of The Week selepas memperoleh undian dalam talian tertinggi bagi minggu ketiga.

Published by
Nurdini Rosliza