Anggun, bersahaja dan sarat nilai tradisi. Itulah pesona yang dibawakan oleh gadis manis dari Tamparuli, Atitih Yatih Robert, apabila beliau dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2025 dalam majlis penuh adat dan gemilang.

Bakal pendidik dalam bidang Bahasa Melayu itu bukan sekadar cantik rupa, tetapi turut menyerlah dari segi ilmu dan keperibadian. Atitih, 26, merupakan graduan Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang kini sedang menantikan penempatan rasmi sebagai guru.

Mewakili daerah kecil Tamparuli, Atitih mengetepikan saingan daripada 51 peserta lain dalam pertandingan ratu tradisi berprestij itu yang sinonim dengan penghargaan terhadap legenda Huminodun, lambang pengorbanan dan kasih sayang demi kelangsungan masyarakat.

“Saya sebenarnya hanya menyasarkan untuk berada dalam kelompok tujuh peserta terbaik. Kemenangan ini sungguh di luar jangkaan dan saya masih terkejut. Syukur kepada Tuhan dan terima kasih kepada keluarga serta sahabat yang tak putus memberi sokongan,” ujarnya.

Ads
Gadis Tamparuli Dinobat Sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2025
Atitih diapit pemenang tempat kedua, Elka Alika dan pemenang tempat ketiga, Celarin Jenny.

BACA JUGA: Tracie Juara Dewi Remaja 2022, Turut Rangkul Dewi Favourite!

Mengulas tentang perancangannya selepas ini, beliau berkata fokus utamanya adalah menunggu penempatan sebagai guru dan dalam masa yang sama berharap dapat menjadi suara yang mengangkat martabat budaya warisan Sabah agar terus mekar di jiwa generasi muda.

Ads

Sebagai juara, Atitih membawa pulang trofi, wang tunai RM15,000 serta pelbagai hadiah iringan yang disampaikan oleh isteri Yang Dipertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin dengan disaksikan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag serta Pengerusi Bersama Unduk Ngadau, Datuk Joanna Datuk Kitingan dan Dr. Mary Gambidau.

Ads

Imbas kembali, ini bukanlah kali pertama Atitih bersaing di pentas Unduk Ngadau Kaamatan. Beliau pernah bergelar finalis dalam edisi tahun 2017 ketika berusia 18 tahun dan berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok 15 terbaik.

Sekadar info, antara nama-nama popular tanah air kelahiran Unduk Ngadau Kaamatan antaranya Daphne Iking yang merupakan juara Unduk Ngadau Kaamaatan 2003 serta juara Dewi Remaja 2022, Tracie Sinidol yang merupakan Unduk Ngadau Tambunan 2021.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI