Imbas kemabli kemenangannya di pentas Miss Grand International 2025, Emma Mary Tiglao, mencuri perhatian dunia bukan sekadar kerana kejelitaannya, tetapi kerana keberaniannya menyentuh isu kemanusiaan, termasuk situasi di Gaza di hadapan ribuan penonton dan jutaan penstrim global.
Pada segmen Top 10 speech round, Emma yang juga seorang wartawan memulakan ucapannya dengan nada penuh emosi dan empati terhadap pelbagai krisis yang melanda dunia, ini termasuklah tentang genosid yang melanda Gaza ketika ini.
“Sebagai seorang wartawan, hati saya sangat pedih melihat negara saya yang tenggelam dalam korupsi, mengenang nyawa-nyawa yang terkorban akibat gempa bumi dan taufan. Dan buat wartawan seperti Mariam Abu Dagga dari Gaza, yang gugur demi kebenaran,” katanya tegas.
Kata-kata itu nyata menggamit emosi ramai apabila Emma dengan berani menyebut nama seorang wartawan Gaza yang meninggal dunia dibunuh ketika melaporkan di kawasan bergolak, sesuatu yang jarang dilakukan peserta ratu cantik antarabangsa di pentas sebesar itu.
“Kita tidak dilahirkan untuk hidup dalam ketakutan, tetapi untuk berharapan, untuk mengasihi, dan untuk hidup dalam kedamaian. Keamanan bermula apabila ibu bapa mendidik anak-anak dengan penuh belas kasihan, apabila pemimpin menunjukkan kerendahan hati, dan apabila anak muda menemui tujuan hidup mereka.
“Dan apabila kita hidup dengan empati serta kebaikan hati biarlah kasih menjadi suara paling agung untuk keamanan,” tambahnya lagi dengan penuh makna.
Ads
Ucapan yang begitu bermakna itu disambut tepukan gemuruh penonton dan tular di media sosial sejurus selepas segmen berakhir.
Ramai memuji keberanian Emma kerana memilih untuk menggunakan platform antarabangsa itu bagi menyuarakan mesej kemanusiaan, bukannya sekadar menonjolkan kecantikan atau gaya persembahan.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi dan usahawan, Nubhan Ahamad, tampil memberikan penjelasan selepas ada pihak yang melabelkannya sebagai ‘anak mak’.
Menurut Nubhan, dia dan ibunya yang sinonim disapa sebagai Mak Jenny, sering dilihat bersama kerana mereka kerap merakam konten media sosial untuk tujuan promosi bisnes.
“Tanpa doa mak, siapalah saya. Mungkin orang tengok saya banyak buat konten bersama mak tapi saya bukan hari-hari bersama mak.
“Saya rasa semua tahu yang Mak Jenny merupakan ahli perniagaan dan punyai produk sendiri. Jadi ramai yang jadikan perkara itu sebagai satu bahan untuk mengatakan saya ini anak mak.
“Dakwaan anak mak itu seperti saya ini 24 jam menempel dengan mak saya sahaja. Itu tidak benar. Di bawah Mak Jenny, bukan ada saya seorang sahaja. Ada ramai team dan ejen.
“Saya hanya jalankan tanggungjawab. Kalau saya keluarkan konten atau video dengan mak, itu adalah salah satu tuntutan kerja saya,” katanya kepada MH.
Dalam masa sama, Nubhan turut memohon agar ibunya tidak dikaitkan dengan isu perceraiannya bersama isteri, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, yang kini masih berjalan di mahkamah.
“Mak Jenny okay sahaja. Dia sebenarnya tak tahu apa-apa. Mak saya ni, sembahyang Zohor pun kadang-kadang dua kali. Umur mak saya sudah 80 tahun.
“Dia sudah tidak larat dan tiada lagi rawatan yang sesuai untuk usianya. Jadi, jangan kaitkan mak saya dalam hal perceraian saya ini.
“Sehari sebelum saya naik mahkamah, saya maklumkan kepada mak yang saya bakal bercerai. Kata mak, dia tidak mahu campur urusan rumah tangga anak-anak.
“Katanya, kami sudah besar. Pandai-pandailah urus sendiri. Saya cuma minta doa mak sahaja. Saya hanya jalankan tanggungjawab. Saya anak lelaki.
“Tanggungjawab pada mak tidak akan putus. Malah, pada isteri dan anak-anak, tanggungjawab saya tetap ada. Jadi, dalam bab tanggungjawab ini, ia satu kemestian bagi saya,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Ada Cinta ini turut menzahirkan rasa reda apabila ada pihak yang mahu memboikot perniagaan ibunya, susulan isu rumah tangganya yang sedang hangat diperkatakan.
“Rezeki adalah aturan Allah. Saya terima apa yang berlaku pada saya. Ini adalah satu dugaan buat saya.
“Mak saya pun tak tahu apa-apa. Dia pun tak tahu yang dia dikecam dan ada yang berkata buruk.
“Sebenarnya, video yang saya buat dengan mak, dia sendiri tak tengok. Dia hanya menjadi diri sendiri. Jadi, jika ada pihak yang nak boikot, saya tak boleh paksa dan marah.
“Saya hanya doakan Allah lancarkan segala perjalanan. Dengan bisnes ini, mak saya dapat rasa satu nikmat yang lain setelah membesarkan kami lapan beradik.
“Ketika ini, apa yang mak saya nak, saya dapat tunaikan di usia mak yang sudah senja. Pada saya, itu satu kebahagiaan,” akhirinya.
Untuk rekod, Nubhan pernah melafazkan cerai kali pertama pada 2017 namun kembali rujuk tiga hari kemudian, sebelum perceraian kali kedua berlaku pada 26 Ogos lalu.
Pasangan ini berkahwin pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, Ahmad Aaffan dan Afzan Nayille.
Dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 16 Oktober lalu, kes pengesahan lafaz cerai tersebut ditangguhkan ke 2 Disember depan, termasuk membincangkan permohonan Dr. Afifah untuk mengesahkan lafaz cerai kali pertama yang berlaku lapan tahun lalu serta proses rujuk selepas itu.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi dan usahawan, Adira Suhaimi menjadi antara selebriti terawal yang berkolaborasi dengan platform e-dagang tempatan, Syurga Wanita melalui pelancaran dua minyak wangi edisi khas iaitu Flora Syurga dan Aura Wanita.
Kerjasama ini menandakan komitmen penyanyi yang sinonim dengan lagu Ku Ada Kamu itu dalam menyokong misi platform itu untuk memperkasakan usahawan wanita tempatan.
“Saya amat teruja dapat bekerjasama dengan Syurga Wanita. Kerjasama ini bukan sekadar pelancaran produk, tetapi simbol sokongan kepada usahawan wanita tempatan. Saya percaya platform ini berpotensi besar untuk berkembang kerana mereka mempunyai misi yang jelas.
“Saya sendiri seorang penggemar wangian dan sudah tentulah saya mahukan yang terbaik. Kami ambil masa sebulan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan kualiti dan aroma yang menepati citarasa wanita Asia moden.
“Setiap bauan dihasilkan untuk menggambarkan dua sisi wanita ‘Flora Syurga’ yang lembut dan feminin, serta ‘Aura Wanita’ yang berani dan berkarisma.
“Apa pun, saya tidak hakimi mereka yang sanggup berhabis beribu untuk sebotol minyak wangi, dahulu pun saya begitu. Itu hak masing-masing.
“Sebab saya percaya, bila kita sudah suka dengan satu-satu bauan itu, kita akan terus menggunakannya dalam tempoh yang lama tapi harganya mahal.
“Jadi saya akui saya kini dalam fasa untuk berhemah dalam membeli minyak wangi dan rasanya mengapa tidak saya sama-sama ajak peminat untuk turut berjimat dengan memiliki haruman ini yang mampu milik dan tahan lama,” katanya.
Adira berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Bual Media Eksklusif & Pelancaran Wangian Adira x Syurga Wanita di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Majlis itu turut dihadiri pelanggan setia, selebriti serta pempengaruh digital dan pada sesi sama, Syurga Wanita turut meraikan tiga pemenang utama peraduan Wanita Bergaya 2025.
Sementara itu, dunia beli-belah wanita terus berkembang pesat apabila Syurga Wanita mencatat kejayaan luar biasa dengan mencapai 100,000 pelanggan aktif hanya dalam tempoh sebulan sejak dilancarkan.
Platform e-dagang tempatan ini bukan sekadar medan beli-belah, tetapi juga ekosistem sokongan untuk wanita dan usahawan tempatan yang mahu mengembangkan jenama mereka secara strategik.
Menurut pengasasnya, Enica, platform ini disediakan khusus buat kaum wanita untuk membeli-belah dengan mudah dalam satu platform.
“Terdapat banyak jenama yang sudah pun bersama kami dan pelanggan bebas untuk membeli mana-mana produk pilihan mereka,” jelasnya.
Sejak pelancarannya juga, Syurga Wanita turut berjaya menarik perhatian lebih 1,000 Key Opinion Leader (KOL) dan selebriti tempatan yang bersama-sama mempromosikan produk di platform tersebut, sekali gus mencipta peluang pendapatan baharu buat komuniti digital tempatan.
“Kami amat terharu kerana dalam tempoh singkat ini, ramai KOL telah menjana pendapatan melalui platform kami.
‘Kami mahu membuka lebih banyak peluang kepada golongan selebriti dan pempengaruh untuk turut serta, kerana misi selepas ini adalah melebarkan sayap Syurga Wanita ke peringkat global,” ujar Enica lagi.
Dalam pada itu, Syurga Wanita menyasarkan untuk menghimpunkan 100 jenama eksklusif wanita menjelang 2026 serta mencapai 1 juta pelanggan aktif dalam tempoh 12 bulan akan datang.
“Tujuan saya membangunkan Syurga Wanita adalah untuk membantu usahawan yang berdepan pelbagai cabaran dalam berniaga.
“Sebagai seorang pengilang, saya sering mendengar keluhan daripada peniaga kecil yang kekurangan strategi pemasaran dan platform stabil.
“Jadi, saya wujudkan Syurga Wanita dengan pelan pemasaran (marketing plan) tersusun supaya mereka dapat berkembang bersama kami,” katanya.
Kini, platform ini sudah menembusi pasaran antarabangsa termasuk China, Hong Kong dan Indonesia, serta menampilkan pelbagai jenama kecantikan dan gaya hidup milik personaliti terkenal seperti Dato Seri Alha Alfa, Adira Suhaimi, dan Shanell Harun.
Selain menjadi pusat beli-belah digital, Syurga Wanita juga berfungsi sebagai komuniti sokongan, menawarkan ganjaran menarik seperti eWallet Rewards, Lucky Draw, Purchase with Purchasedan hadiah eksklusif termasuk barangan elektronik, kereta serta tiket penerbangan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Foto: Nona/Ideaktiv
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon dan personaliti media sosial popular Indonesia, Anya Geraldine, mengakui ibunya pernah menegurnya kerana sering tampil berpakaian seksi dengan cara yang cukup unik iaitu melalui kiriman video bertemakan siksa kubur.
Perkara itu didedahkan Anya dalam satu sesi wawancara bersama rakan selebriti, Ivan Gunawan, baru-baru ini apabila pereka fesyen terkenal itu berkongsi kisah mengenai ketegasan ibu Anya terhadap penampilan anaknya.
“Dia kalau pakai baju seksi, dikirimin video sama emaknya tentang siksa kubur,” ujar Ivan Gunawan.
“Ya,” jawab Anya Geraldine mengiakan apa yang dikongsikan oleh Ivan Gunawan.
Menurut Anya, ibunya seorang yang berpegang kuat kepada ajaran agama Islam dan sering mengingatkannya agar menjaga aurat serta maruah diri sebagai wanita Muslim walaupun bergiat aktif dalam dunia hiburan.
Walaupun sering menerima teguran, Anya menjelaskan bahawa gaya pemakaiannya sering disalah tafsir kerana busana yang digayakannya kebiasaannya berkaitan dengan urusan kerja, bukan semata-mata pilihan peribadi.
“Sebenarnya kalau di rumah saya lebih suka pakai baju longgar, T-shirt atau pakaian tidur. Kalau berpakaian agak terbuka itu kerana tuntutan kerja, sesi penggambaran atau acara tertentu. Jadi bergantung pada situasi dan suasana hati juga,” katanya.
Pelakon berusia 28 tahun itu turut menjelaskan bahawa beliau kini lebih tenang dalam menghadapi kecaman masyarakat terhadap imejnya yang sering menjadi perbualan di media sosial.
“Saya sudah penat melayan komen-komen netizen. Sekarang saya lebih santai sahaja, yang penting kerja saya siap dan saya tidak mengganggu orang lain,” katanya lagi.
Hubungan Anya dan ibunya dilaporkan kekal baik meskipun sesekali berbeza pandangan mengenai soal kesopanan berpakaian.
Malah, ibunya kini dikatakan semakin memahami keperluan anaknya untuk tampil dengan imej profesional mengikut konteks kerjaya dalam dunia seni.
Anya Geraldine, nama sebenar Nur Amalina Hayati, ialah pelakon, model dan personaliti media sosial Indonesia yang mula dikenali sejak 2016 melalui vlog YouTube.
Dia kemudian membintangi filem seperti Yowis Ben 2 dan Pretty Little Liars Indonesia, serta aktif mengusahakan perniagaan dalam bidang kosmetik dan makanan.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi, Lan Solo meluahkan rasa syukur apabila dia sekeluarga tidak berdepan sebarang masalah sepanjang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci, Mekah, baru-baru ini.