
Pelakon Fattah Amin menafikan dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya mengabaikan anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya, 4, kerana terlalu sibuk dengan komitmen kerja.
Malah, Fattah, 34, turut menolak tuduhan bahawa perkongsiannya di media sosial ketika bertemu anak sebelum ini hanyalah untuk meraih perhatian.
“Ada pihak yang kata saya terlalu sibuk sampai tak sempat jumpa anak. Saya terkilan dengan tuduhan seperti itu.
“Takkanlah setiap kali saya jumpa anak, saya perlu muat naik gambar atau video semata-mata untuk tunjuk kepada semua orang. Buat apa, kan?
“Cuma ada masanya saya rasa nak kongsi, saya akan muat naik. Saya kongsi bukan sebab nak buat konten.
“Tapi ada pula yang cakap bila dah jumpa anak, nak tunjuk dekat orang. Macam-macam persepsi,” katanya ketika ditemui pada karnival beli-belah Celebfest Ramadan di Suntec, Singapura, pada Jumaat.
Harap Hentikan Spekulasi
Fattah berharap agar orang ramai tidak terus membuat spekulasi mengenai hubungannya dengan anak, memandangkan mereka masih berjumpa dan bekas isterinya, Nur Fazura, turut memberikan kerjasama yang baik.
“Saya sendiri pening kepala dengan dakwaan-dakwaan ini. Bila saya kongsi, orang kata nak buat konten. Bila tak kongsi, orang kata saya tak jumpa anak.
“Jadi, saya nak perbetulkan keadaan bahawa saya ada berjumpa anak saya beberapa kali, cuma ada masanya kita faham dia tak sihat dan mungkin tak mahu keluar.
“Jadi tolong jangan salahkan sesiapa kerana perkongsian saya sebelum ini nak beritahu saya ada berjumpa anak saya.
“Pihak Fazura pun memberi kerjasama yang baik. Tak ada sesiapa yang salah dalam hal ini,” katanya lagi.
Luahan Seorang Bapa
Mengenai perkongsiannya di Instagram Stories yang memohon doa untuk kesihatan anaknya, Fattah menjelaskan bahawa dia hanya meluahkan perasaan sebagai seorang bapa.
“Saya tak dapat jumpa dia sebab keadaan dia tidak sihat ketika ini. Sebagai bapa, saya perlu faham keadaan dan perasaan dia, jadi tak boleh nak paksa dia untuk jumpa saya.
“Macam yang anda sendiri tengok, keadaan dia tak sihat dan tak mahu berjumpa. Perkongsian saya itu hanya luahan hati seorang bapa saja,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI