Konsert minggu ke-3 Kilauan Emas 2024 menyaksikan dua peserta iaitu Dino dan Hamid telah pun tersingkir.

Kedua-dua mereka gagal menambat hati para juri menerusi persembahan masing-masing seterusnya memperoleh markah terendah sebanyak 57.48% dan 56.04%.

Sementara itu, Maria pula tampil cemerlang saat membawakan lagu dangdut, Penawar Rindu lantas merampas kembali kedudukan pertama dengan markah tertinggi sebanyak 75.85%.

Bukan setakat itu, Maria turut memperoleh gelaran berganda apabila dinobatkan selaku pemenang Emas Berkilau Of The Week untuk dua minggu berturut-turut.

Dino & Hamid Ucap Selamat Tinggal

Selepas dua minggu tiada penyingkiran, Dino dan Hamid terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat pentas Kilauan Emas 2024.

Ketika ditemui, Dino memaklumkan dirinya menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka selain turut menyifatkan ia merupakan lumrah dalam program pertandingan.

“Saya terima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Apa boleh buat? Saya sudah cuba sehabis baik dan termampu. Nasib tak menyebelahi saya,” katanya.

Ditanya sama ada dia merasakan dirinya layak tersingkir minggu ini, Dino enggan mengulas lanjut.

“Saya buat kesilapan pada lirik pertama dan kedua tapi saya dapat catch up semula tapi ini keputusan pihak juri. Saya no komen. Saya terima keputusan ini. Ini adat bertanding,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hamid pula memanjatkan rasa syukur kerana dapat menimba ilmu di program Kilauan Emas 2024 meskipun terpaksi meninggalkan rakan-rakan yang lain.

“Sepanjang tiga minggu ini, saya bersyukur dapat berada di sini. Banyak pengalaman bersama cikgu vokal, cikgu tarian dan krew-krew yang banyak beri tunjuk ajar.

“Dari tak pandai menari, boleh menari mungkin rezeki saya sampai di sini,” katanya.

Pada masa sama, Hamid akui kesilapan lirik sedikit mengganggu fokusnya ketika persembahan.

“Saya buat soundcheck sebanyak tiga kali. Ketika itu, semuanya okay. Bila live, tiba-tiba saya blank. Saya memang agak ralat. Mungkin saya terlaku yakin malam tadi,” ujarnya lagi.

Lupa Lirik Ganggu Fokus

Selain Dino dan Hamid, masalah lupa lirik ini turut terjadi kepada beberapa peserta lain.

Pada pandangan MH, masalah seperti ini mungkin berlalu disebabkan para peserta terlalu gemuruh atau banyak memikirkan mengenai ‘showmanship’ ketika persembahan.

Disebabkan kesilapan tersebut, para peserta mula hilang arah dan ia jelas kelihatan pada raut wajah.

Ina dan Gie juga merupakan antara peserta yang berdepan masalah sama namun berjaya mengatasi semula dengan menampilkan kualiti vokal yang mantap di pertengahan persembahan.

Seperti minggu sebelumnya, kesilapan sama turut berlaku kepada Budin. Disebabkan kesalahan lirik saat membawakan lagu Bila Cinta Didusta, fokus Budin nyata terganggu.

Namun, suasana di Royal Theatre Shah Alam nyata apabila penonton sama-sama menyanyi untuk membantu Budin menamatkan persembahan.

Berikut adalah markah penuh para peserta Kilauan Emas 2024 di minggu ke-3;

Terdahulu, konsert minggu ketiga Kilauan Emas 2024 malam tadi telah dinilai oleh juri tetap, Erra Fazira dan Roy Azman manakala Datuk Hattan bertindak sebagai juri jemputan.

Program yang dihoskan Elly Mazlein ini bersiaran secara langsung di saluran Astro Prima (105) dan boleh distrim menerusi apliaksi Astro Go dan Sooka.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Kredit Foto: Azrul Rafi

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI