
Pelakon dan aktivis teater terkenal, Sabri Yunus tampil memberikan pandangannya berhubung isu tular membabit satu pementasan teater di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang teruk dikecam gara-gara didakwa mempertontonkan adegan kurang sopan.
Menurut Sabri, para penggiat seni seharusnya tahu batas di dalam agama meskipun ada yang beranggapan seni ini merupakan ruang ekspresi yang bebas.

“Pada saya, kita kena berbalik semula kepada agama kita iaitu Islam. Apa sahaja seni yang kita nak tunjukkan, mestilah bersandarkan dan berlandaskan hukum hakam di dalam agama.
“Walaupun seni itu dianggap bebas secara tidak langsung, namun seni di dalam Islam, ia tidak akan menjadi bebas.
“Saya selalu beri contoh, jika di barat, ada 20 orang pelukis dan di hadapan mereka ada seorang wanita berbogel. Lalu, mereka melukis tanpa ada sebarang ransangan.
“Namun, dalam sudut Islam pula, jika kita berada dalam situasi sama dan melukis tanpa ada rasa ransangan, tetap tidak boleh walaupun tiada perasaan,” katanya kepada MH.
Suami kepada pelakon Angeline Tan itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Libang Libu yang berlangsung di TGV Mid Valley, Kuala Lumpur pada Khamis.
Sementara itu, pelakon yang terkenal menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu turut mendedahkan dirinya pernah menonton pementasan teater yang sama namun tiada adegan keterlaluan yang dipertontonkan.

“Saya ada terbaca satu posting di Facebook. Rupanya teater yang sama pernah dipentaskan di sebuah universiti yang lain. Saya juga pernah menonton pementasan kisah yang sama di MATIC.
“Kisah ini sebenarnya sudah banyak kali dipentaskan. Sewaktu saya tonton dahulu, tiada babak-babak seperti itu,” ujarnya lagi.
Jadikan Pengajaran
Jalas Sabri lagi, dia berharap agar isu seperti ini dijadikan pengajaran agar tidak berlaku lagi di masa hadapan.

“Tak kisahlah sama ada dalam lukisan atau teater, kita kena ada kesedaran sendiri tentang batas-batas di dalam agama,” kongsinya lagi.
Ditanya sama ada pelajar-pelajar yang terlibat ini wajar diberikan hukuman, Sabri berpandangan, sebagai mahasiswa, mereka seharusnya dididik dengan ilmu agar semangat untuk memperjuangkan seni tidak pudar.
Anda mungkin berminat dengan

“Pada saya, mereka ini tidak perlu dihukum. Namun, mereka haruslah punyai kesedaran bila isu seperti ini berlaku. Nak menghukum pun tidak berguna kerana perkara itu sudah berlalu.
“Hukuman itu akan melemahkan lagi semangat pelajar-pelajar itu. Di universiti, mereka ini mahu belajar dan menuntut ilmu.
“Mereka seharusnya dihukum dengan ilmu juga,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

