
Penyanyi dan penulis lagu, Aepul Roza mengakui dirinya masih menerima banyak permintaan untuk menghasilkan lagu berdasarkan isu-isu viral yang hangat diperkatakan di media sosial.
Menurut Aepul atau nama sebenarnya, Noor Syaiful Mohd Zalaludin, dia bagaimanapun kini berhasrat untuk berehat seketika daripada menghasilkan karya berasaskan isu semasa kerana merasakan tidak semua perkara wajar diangkat menjadi lagu.
“Sebenarnya saya nak berehat daripada buat lagu-lagu viral tapi permintaan makin banyak. Isu pula tak pernah surut.
“Namun, saya tetap memilih isu mana yang sesuai,” katanya kepada MH.
Vokalis kumpulan Drama Band itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single Trilogi yang berlangsung di Astana Putra, Sendayan pada Isnin.
Dalam pada itu, Aepul menjelaskan dia enggan memberikan perhatian kepada mana-mana individu yang sengaja mencetuskan kontroversi demi meraih populariti murahan.
“Sebelum ini ada isu melibatkan seorang pempengaruh media sosial. Saya sudah tulis dan rakam lagu itu. Namun, saya nampak permainan dia.
“Dia suka ‘rage bait’ dan buat orang marah untuk menaikkan branding dan namanya. Kemudian, dia akan buat duit.
“Namun, bila saya perhatikan semula, biasanya orang yang nak bermain permainan ini, mereka punyai otak dan cerdik walaupun bercakap perkara bodoh.
“Setidaknya ada ‘fight’ bila saya buat lagu. Bila saya nampak dia buat konten menari, saya rasa dia terlalu hina untuk kita berikan perhatian. Saya batalkan lagu itu dan akan olah semula nanti,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Aepul menegaskan lagu-lagu yang dihasilkannya bukan bertujuan menyerang mana-mana individu, sebaliknya mahu membuka mata masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan kandungan yang mengelirukan.
“Saya keluarkan sesebuah karya bukan untuk ditujukan kepada individu. Ia adalah untuk masyarakat belajar sesuatu daripada isu viral ini.
“Ramai yang tak sedar, mereka ingat bila seseorang bercakap sesuatu yang membangkitkan kemarahan, itu adalah perkara yang benar.
“Sebenarnya tidak. Mereka cakap sebegitu kerana tahu ia akan menarik perhatian ramai. Daripada situ, namanya akan dikenali. Kemudian boleh buat duit.
“Orang-orang sebegini yang kita nak perangi,” kongsinya lagi.
Ditanya sama ada dia akan menerima tawaran lumayan untuk menghasilkan lagu tertentu, Aepul menegaskan mesej yang ingin disampaikan lebih penting daripada ganjaran wang.
“Saya tidak akan terima juga. Duit saya masih cukup. Saya tidak mengejar wang. Kalau kejar, ia tidak akan cukup. Bila kita rasa cukup, duit yang kurang pun akan cukup.
“Ketika ini sosial media sudah jadi sebahagian besar daripada hidup kita. Jika kita jejak betul-betul, berapa lama masa kita luangkan di media sosial setiap hari?
“Berapa banyak informasi yang kita terima? Jika ada orang yang tidak bijak seperti ini, kita kena didik masyarakat. Berhenti percaya apa yang mereka katakan,” akhirinya.
Dalam perkembangan lain, Aepul bersama dua penyanyi hebat, Aweera dan Fiq Halim kini bergandingan menerusi sebuah projek khas yang dikenali sebagai Trilogi.
Trilogi baru sahaja melancarkan single kedua berjudul Gila dan bakal tampil dengan EP album dalam masa terdekat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini