Hiburan

Danial Kifli Hanya Raih 65.50%, Akui Persembahan Belum Capai Tahap Terbaik – “Pertama Kali Bawa, Saya Anggap Satu Cabaran.”

Share

Peserta Big Stage Rocketfuel, Danial Kifli mengakui sedih apabila namanya diumumkan berada di kedudukan terakhir pada konsert minggu keenam pertandingan realiti nyanyian itu, malam tadi.

Menerusi persembahan lagu Cinta Dewa Dewi nyanyian asal kumpulan Spider, Danial gagal memikat hati barisan juri sekali gus hanya memperoleh markah 65.50 peratus.

Menurut penyanyi berusia 23 tahun itu, dia sudah memberikan usaha terbaik meskipun lagu berkenaan bukan dalam kebiasaan genre nyanyiannya.

“Saya agak sedih sebab saya dah cuba buat yang terbaik walaupun orang tahu lagu itu bukan genre saya. Selama ni jika ada acara luar, saya memang jarang membawakan lagu bergenre sebegitu.

“Sejujurnya saya tak pernah dengar lagu itu. Kalau ada pun dalam radio. Bila pertama kali membawakan lagu ini saya anggap ia sebagai satu cabaran,” katanya kepada MH.

Danial berkata demikian ketika ditemui selepas tamat konsert minggu keenam Big Stage Rocketfuel di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada Ahad.

Walaupun kecewa dengan keputusan tersebut, Danial memilih untuk terus berfikiran positif dan mengakui persembahannya pada malam itu sememangnya belum mencapai tahap terbaik.

“Bila keputusan macam tu, saya rasa sedih. Apa-apa pun saya pandang ke depan. Kalau ada rezeki, adalah, kalau tiada, mungkin ada hikmah.

“Memang saya layak dapat tempat terakhir sebab saya tahu itu bukan yang terbaik saya bagi,” ujarnya.

Dedah Berdepan Masalah Sebelum Persembahan

Mengulas lanjut, Danial mendedahkan dia berdepan beberapa masalah sebelum memulakan persembahan, termasuk isu pakaian serta keadaan kesihatan yang kurang baik sehingga memberi kesan terhadap persembahannya.

“Sebenarnya saya ada sebab kenapa jadi begitu, tapi saya tak boleh cakap ketika acara berlangsung sebab takut orang kata ‘alasan’.

“Sebelum mula persembahan, ada masalah dengan baju, jadi saya terpaksa menunggu lama sebab kena ‘alter’.

“Selepas itu, saya mengalami sakit kepala dan tak dapat cari Panadol. Setengah jam sebelum persembahan bermula baru dapat makan dan barulah keadaan saya baik sedikit,” jelasnya.

Jadual Padat Jadi Cabaran

Dalam pada itu, Danial tidak menafikan jadual yang padat sepanjang menyertai Big Stage Rocketfuel turut menjadi antara cabaran terbesar buat dirinya.

“Bila saya sertai Big Stage, jadual sangat padat dengan pelbagai aktiviti dan kelas. Jadi masa untuk berlatih agak kurang, itu juga antara faktor yang menganggu fokus saya.

“Saya kurang rehat dan kena kerja lebih. Bila tengok peserta lain, memang saya rasa agak tercabar kerana mereka semua bersungguh-sungguh belajar dan memang layak berada dalam pertandingan ini,” katanya.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran, Danial tetap menganggap penyertaannya dalam pertandingan itu sebagai satu pengalaman dan proses pembelajaran yang sangat bermakna.

“Ini adalah pengalaman pertama saya dalam pertandingan sebegini.

“Sebelum ini, kalau ‘perform’ dekat mana-mana majlis, habis nyanyi boleh terus balik.

“Tetapi dalam Big Stage, kita kena dengar komen juri dan itu adalah pengalaman baru untuk saya,” akhirinya.

Sepanjang lapan minggu pertandingan, para peserta bersaing bagi merebut tiga gelaran utama yang menawarkan Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 secara keseluruhan.

Musim kali ini pada asalnya menampilkan 10 peserta iaitu Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-Z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina dan duo Adam & Nazmie sebelum Hussain diumumkan sebagai peserta ke-11.

Ganjaran yang ditawarkan merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.

Program yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva Natassha itu bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria, selain boleh distrim menerusi Astro GO dan Sooka.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Nurdini Rosliza