Categories: Berita Hiburan

“Dalam Menyahut Panggilan Suci Ini, Saya Serahkan Keluarga Sepenuhnya Di Bawah Perlindungan Allah SWT…,” – Lisa Surihani Bakal Tunai Haji

Share

Pelakon Datin Lisa Surihani memaklumkan dirinya bakal berangkat ke Tanah Suci, Mekah untuk menunaikan ibadah haji.

Menerusi satu perkongsian penuh menyentuh hati di media sosial, Lisa memanjatkan rasa syukur kerana diberikan peluang menyahut panggilan suci untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Dengan rendah hati, Insya-Allah saya bakal berangkat untuk menunaikan ibaadah rukun Islam yang kelima.

“Perjalanan yang amat bermakna, sementara mengharap dan mendoakan moga dapat laksanakan jihad ini sebaik-baiknya,” tulisnya.

Dikesempatan ini juga, pelakon filem Legenda Budak Setan ini turut memohon sekiranya dia ada menyakiti hati mana-mana pihak sebelum ini.

“Sebelum melangkah pergi, saya dengan tulus ikhlas menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki atas segala kesilapan, tutur kata, atau perbuatan yang mungkin pernah mengguris hati, sama ada sengaja mahupun tidak,” kongsinya lagi.

Titip Dedikasi Buat Semua

Dalam masa sama, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini turut meluahkan rasa syukur terhadap insan-insan yang bermurah hati menghadiahkan pelbagai kelengkapan dan buah tangan bagi memudahkan urusan ibadahnya sepanjang berada di Mekah nanti.

“Hati saya juga diselubungi rasa syukur yang tidak terhingga buat insan-insan mulia yang sangat pemurah memberi pelbagai kelengkapan dan buah tangan bagi memudahkan urusan ibadah saya di sana.

“Semoga Allah membalas segala kebaikan anda dengan ganjaran yang melimpah-ruah,” kongsinya lagi.

Tidak ketinggalan, Lisa turut menitipkan doa agar keluarganya sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT sepanjang pemergiannya menunaikan ibadah haji.

“Dalam menyahut panggilan suci ini, saya menyerahkan keluarga tersayang sepenuhnya di bawah jagaan dan perlindungan Allah SWT, sebaik-baik Penjaga.

“Semoga Allah SWT mengurniakan ketenangan dan rasa cukup dalam hati-hati kita. Saya sayang dan rindu kalian semua,” kongsinya.

Sementara itu, Lisa turut berharap agar dia dan seluruh jemaah haji dikurniakan haji yang mabrur serta pulang dengan jiwa yang lebih baik.

“Bismillah, semoga Allah SWT mengurniakan kepada saya dan seluruh jemaah haji, haji yang mabrur.

“Bukan sekadar pulang dengan kelegaan, tetapi juga dengan jiwa yang diperbaharui. Allahumma Aameen. Doakan kami juga ya?,” akhirinya.

Sementara itu, menerusi hantaran berasingan, Lisa turut berkongsi momen-momen dirinya bersama keluarga sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
Aizam Manaf