
Viviana
Peserta Talk To My Manager 2 (TMM2), Viviana Zairi mengakui bukan mudah untuk dirinya menceritakan semula pengalaman hitam ketika menjadi mangsa buli di sekolah menerusi sebuah program audio siar, baru-baru ini.
Menurut Viviana, walaupun kejadian itu sudah lama berlalu, pengalaman tersebut masih segar dalam ingatannya sehingga hari ini.
“Saya yakin ramai sudah tengok Podcast Kita Kita Je berkenaan saya dibuli. Percayalah ambil masa bertahun untuk saya buka cerita ini sebab masih segar dalam ingatan saya.
“Tapi alhamdulillah ada hikmah di sebalik semua yang berlaku,” tulisnya.
Perkongsian itu dibuat oleh anak kepada pelakon dan penyanyi, Ani Maiyuni menerusi satu hantaran di aplikasi Threads.
Baca Artikel Lain;
Jelas Viviana lagi, pendedahan yang dibuat bukan bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak, sebaliknya sekadar memberi kesedaran kepada masyarakat tentang budaya buli yang masih berlaku sehingga kini.
“Saya tiada sebut nama pembuli sebab bagi saya, cukuplah hanya saya dan orang sekeliling saya sahaja yang tahu.
“Sekadar kesedaran untuk semua orang. Katakan tidak pada buli,” ujarnya.
Dalam masa sama, Viviana turut menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan atlet bola jaring negara, Ann Najwa sebagai individu yang membulinya.
“Disclaimer, bukan Ann Najwa yang buli ya. Kak Aqilah pulak adalah orang yang selamatkan saya pada malam itu.
“Tak lupa juga dua orang kawan baik saya yang sanggup ke depan untuk tolong saya,” kongsinya lagi.
Baru-baru ini, Viviana mendedahkan dirinya pernah dibuli dengan teruk oleh pelajar senior ketika di sekolah.
Menurutnya, sewaktu insiden tersebut berlaku, wajahnya didakwa telah ditekup dan ditampar, malah kakinya turut diikat.
Menerusi program sama, Ani Maiyuni turut mendedahkan individu yang didakwa membuli anaknya itu masih aktif bermain bola jaring.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber: Threads Viviana