Berita

“Bila Kita Gembira Untuk Orang Lain, Allah Akan Tambah Lagi Kebaikan Itu Untuk Kita,” – Fazura

Share

Pelakon dan penyanyi yang juga usahawan, Nur Fazura berkongsi pandangannya mengenai keterbukaan terhadap rezeki orang lain.

Pendapat tersebut diluahkan ibu kepada seorang cahaya mata itu ketika melakukan sesi siaran langsung di TikTok, baru-baru ini.

Menerusi sedutan yang dikongsikan kembali oleh pengguna media sosial itu, penyanyi lagu Cinta Langka ini berpendapat adalah tidak wajar untuk seseorang itu berasa iri hati terhadap kejayaan atau kebahagiaan individu lain.

Sebaliknya, setiap daripada kita perlu belajar untuk turut sama meraikan kegembiraan terhadap nikmat yang dikurniakan kepada orang lain.

“Jangan marah pada rezeki orang lain, kita kena gembira. Bila kita gembira untuk orang lain, Allah akan tambah lagi kebaikan itu untuk kita,” katanya.

Percaya Pada Ketentuan Allah

Dalam masa sama, pelakon filem Gol & Gincu itu turut menyentuh mengenai konsep ‘law of attraction’, dalam konteks sebagai Muslim.

“Kalau orang putih panggil ‘law of attraction’, tapi kita percaya pada hukum dan qada Allah SWT.

“Kalau kita gembira untuk orang, kita kongsi orang punya kegembiraan.

“Kita tengok orang cantik, orang itu berjaya, apa yang kita rasa untuk orang lain, itu yang akan kembali kepada kita,” jelasnya lagi.

Malah, Fazura turut berpandangan kejayaan atau kegembiraan orang lain sewajarnya diraikan dengan hati yang terbuka tanpa dipersoalkan.

“Ada orang dapat bunga besar, ‘mesti ada sponsor’ atau ‘itu mesti bunga tipu’. Kalau kita fikir macam itu, kita pun akan dapat sebegitu atau lebih teruk.

“Ini apa yang Faz belajar. Bila Faz nak sesuatu, contoh orang tu pakai baju cantik.

“Bila hati kita bersih, kita gembira untuk orang, Allah akan bagi. Memang Faz dapat pula lepas itu,” kongsinya.

Perkongsian berkenaan mendapat perhatian warganet dan rata-rata daripada mereka turut sama bersetuju terhadap pandangan bermanfaat yang dikongsikan.


Sumber & Kredit Video: Zuhri Amin Anuar & Tiktok Nur Fazura

Published by
Nurdini Rosliza