Berita

“Bertindak Sebelum Terlambat,” – Zahirah Macwilson Tegas Soal Batas Bersentuhan Anak-Anak, Seru Ibu Bapa Berani Bersuara

Share

Pelakon Zahirah Macwilson mengingatkan masyarakat untuk lebih peka dan tidak memandang ringan soal batas fizikal lebih-lebih lagi bila melibatkan anak kecil.

Bagi Zahirah, tiada sesiapa pun mempunyai hak mutlak untuk menyentuh kanak-kanak tanpa kebenaran, termasuklah dalam kalangan ahli  keluarga sendiri.

“Walau siapapun anda, jangan sewenang-wenangya menyentuh anak orang lain. Pada saya, ini satu peringatan penting. Saya juga pernah menegur peminat atau orang yang saya tak kenal, tapi menyentuh anak saya.

“Saya bagi tahu dengan nada sopan, jangan sentuh anak saya. Salah satu sebabnya adalah aspek kebersihan. Kita pun tak tahu apa yang orang itu sentuh sebelum itu.

“Faktor kedua, saya tak mahu anak-anak saya berfikir tindakan menyentuh anak kecil tanpa kebenaran adalah normal. Saya tak nak mereka fikir tindakan seperti itu adalah okay. Ia sebenarnya tak okay,” katanya kepada MH.

Ibu kepada dua orang cahaya mata itu berkata sedemikian ketika ditemui di acara tayangan perdana siri terbaharu, Good Boys Go To Heaven, baru-baru ini.

Ibu Bapa Usah Takut Bersuara

Dalam masa sama, Zahirah turut menyeru kepada para ibu bapa untuk berani bersuara dan menegur sesiapa yang bertindak berlebihan ketika menyentuh kanak-kanak.

“Pada saya, orang luar tiada hak nak menyentuh anak kecil sesuka hati mereka. Walaupun mereka adalah ahli keluarga, kita tetap kena ada batas.

“Jangan takut untuk bersuara. Kalau anda rasa tindakan itu seperti salah atau tak kena, bagi tahu sahaja. Tak kisahlah sama ada mereka merupakah ahli keluarg atau jiran.

“Jangan rasa segan. Kita kena bertindak sebelum terlambat,” ujarnya.

Berkongsi pendekatan dalam mendidik anak-anak pula, Zahirah berkata, dia dan suami yang juga aktor, Aiman Hakim Ridza akan sentiasa berusaha meluangkan masa serta berkomunikasi secara terbuka walaupun sibuk dengan kerjaya.

“Saya dan Aiman akan selalu berusaha untuk sentiada ada untuk anak-anak. Walau sesibuk mana pun, kita kena meluangkan masa dan berkomunikasi dengan mereka.

“Anak-anak ini adalah amanah kita. Kita yang pilih untuk punyai anak. Jadi, kita Kena bertanggungjawab.

“Kita kena tahu keadaan dan selalu bercakap dengan mereka. Bagi sesetengah orang, mereka merasakan anak-anak ini bukan tahu apa pun soal perasaan.

“Itu tanggapan yang salah. Mereka sebenarnya ada dan tahu cara nak mengekspressi perasaan mereka,” kongsinya lagi.

Tambahnya lagi, komunikasi diantara ibu bapa dan anak-anak kini jauh lebih muda jika ingin dibandingkan dengan pendekatan zaman dahulu.

“Zaman sekarang, ibu bapa lebih mudah nak bercakap dengan anak-anak berbanding dahulu. Dulu ibu bapa kita agak garang. Jadi kita pun takut nak meluahkan.

“Saya akan sentiasa melayan anak-anak seperti orang dewasa. Saya akan bagitahu mereka apa yang betul dan salah.

“Kalau mereka nampak sesuatu di luar atau medoa sosial, didiklah mereka dengan cara yang betul. Mereka kena tahu perkara betul dan salah ini sejak usia muda.

“Mereka juga perlu diajar cara melayan orang lain dan melindungi diri sendiri agar mereka tahu bagaimana menjadi insan yang berguna pada masa akan datang,” akhirinya.

Sekadar informasi, Zahirah dan Aiman mendirikan rumah tangga pada tanggal 20 Februari 2020.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Isaac Raees, dan Inara Raisa.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf