“Bertemu Di Ruang Solat Yang Sama Dan Saya Pilih, Beritahu Suami Mahu Dinikahkan Di Sini,”- Tasha Shilla Cerita Simbolik Akad Nikah Di Masjid Wilayah

Share

Pelakon Tasha Shilla akui dirinya sepakat bersama suami, Muhammad Atiq Idris untuk diijabkabulkan di ruang solat Masjid Wilayah, Kuala Lumpur sebagai simbolik pertemuan mereka yang tidak disangka-sangka.

Jelasnya lagi, meski pun perkenalan mereka pada awalnya diatur oleh kenalan rapat, namun keduanya saling bertemu secara tidak sengaja buat kali kedua di lokasi terbabit.

“Jujurnya pertemuan pertama kami diatur oleh rakan baik, akan tetapi pertemuan kedua yang tak dijangka itu di Masjid Wilayah.

“Saya ternampak dia, bertemu di sini di ruang solat yang sama dan saya pilih, beritahu suami mahu dinikahkan di sini.

“Alhamdulillah sebenarnya banyak doa saya sebelum ini dimakbulkan Allah,” katanya sejurus sah bergelar isteri kepada lelaki berusia 33 tahun itu.

Berkongsi perasaan sejurus selesai akad nikah, bintang Kamar Kamariah itu memanjatkan rasa syukur kerana berjodohan dengan insan beriman yang didambakan selama ini.

“Syukur alhamdulillah, impian menjadi nyata. Berkat doa semua yang mahu melihat saya mendirikan rumah tangga, akhirnya saya bertemu dengan suami, seorang lelaki beriman yang sayangi dan terima diri seadanya.

“Saya gembira di sampingnya. Alhamdulillah kita berjaya lakukannya bersama. Terima kasih buat semua yang hadir dan seterusnya mendoakan yang baik-baik buat kami,” katanya lagi.

Bercerita mengenai perancangan bulan madu, pasangan yang awalnya mengikat tali pertunangan 23 Februari lalu ini merancang menjejakkan kaki ke tanah suci.

“Setakat ini, kami ada rancang untuk bulan madu di Mekah. Cuna atas isu semasa yang berlaku, mungkin kami akan melancong di dalam negara terlebih dahulu.

“Kami ambil cuti lebih sebulan untuk fokus dalam proses persiapan perkahwinan.

“InsyaAllah kami mungkin bercuti di dalam negara kira-kira seminggu sebelum masing-masing fokus pada kerjaya,” akui Tasha.

Terdahulu, pasangan sama cantik sama padan ini sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam majlis ringkas di Masjid Wilayah kira-kira jam 9.59 pagi, 28 Februari lalu.

Pasangan tersebut dinikahkan bapa pengantin perempuan, Abd Razak Razali dan disaksikan Imam Besar masjid berkenaan, Tuan Haji Ehsan Mohd Hosni.

Pada majlis itu juga, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM800 dan sebentuk cincin. Tiada dulang hantaran diserahkan kedua pihak. Manakala, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Keduanya turut diraikan dalam satu majlis resepsi pada sebelah malam hari sama.

Sebelum ini, Atiq ada memberitahu mereka bertemu di ruang masjid terbabit ketika Tasha sedang menjalankan majlis amal di sana.

Ikuti temu bual penuhnya di sini;

IKLAN