
Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah bersama tunangnya, Syed Saddiq menangguhkan sidang media berhubung majlis perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung pada semalam susulan berita duka pemergiaan ‘Ibu Negara’, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story (IGS) semalam, Bella mendedahkan mereka sedang menjalani penggambaran ketika menerima berita duka mengenai pemergian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah.
Menurut Bella, Ahli Parlimen Muar itu dilihat tidak mampu menumpukan perhatian terhadap perancangan yang telah diatur untuk hari berkenaan.
“Kita tengah shoot. Tetapi, saya tahu hati dan fikiran dia berada di tempat lain selepas mendengar berita menyayat hati mengenai pemergian Tun Hasmah, pagi ini.
Dalam hantaran sama, ibu kepada dua cahaya mata itu memaklumkan bahawa tunangnya meminta agar sidang media (PC) dibatalkan.
Malah, Bella mengakui masih terkejut dengan berita pemergian figura hebat negara itu.
“Dia benar-benar tidak mampu untuk meneruskan apa yang telah dirancang selepas ini.
“Dia meminta agar sidang media petang ini dibatalkan.
“Allahuakbar, kami berdua masih dalam keadaan terkejut,” luahnya lagi.
Sebelum ini, Bella telah memuat naik satu hantaran di IGS memaparkan tunangnya, Syed Saddiq dari arah belakang yang sedang tertunduk.
Terdahulu, negara dikejutkan dengan pemergian Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Allahyarhamah dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 9.20 pagi semalam.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.