Pelakon Fattah Amin menjelaskan dua jambangan bunga yang dihantar sewaktu penyanyi Amira Othman dirawat di hospital baru-baru, ini hanyalah tanda keprihatinannya terhadap kesihatan rakan artis.
Menurut Fattah, kehadiran ibunya, Azizah Abdul Ghani, di hospital pada hari ketiga juga berlaku secara kebetulan memandangkan mereka keluar bersama pada waktu itu.
“Seperti yang saya katakan, Amira ialah rakan sekerja dan saya prihatin tentang kesihatannya. Saya hantar bunga dua hari sahaja dan bukanlah hari-hari.
“Kemudian, orang kata hari ketiga saya hantar ibu pula. Sebenarnya, ibu saya memang nak melawat Amira.
“Kebetulan pada hari tersebut, saya dan ibu keluar bersama. Dia kata alang-alang keluar, bolehlah lawat Amira sekali,” katanya kepada MH.
Tambah Fattah, hubungan keluarganya dengan Amira bukan sesuatu yang asing kerana mereka juga pernah bekerjasama dalam produk bersama.
“Keluarga saya dan Amira sudah saling kenal. Kami juga ada keluarkan produk bersama. Adik-beradik saya pun sokong produk yang Amira keluarkan. Bila ada yang sakit, kita sesama keluarga rasa prihatin,” katanya lagi.
Ads
Risau Kesihatan Amira, Bukan Isyarat Cinta
Fattah turut mengakui keluarganya agak risau terhadap keadaan Amira yang tiba-tiba dimasukkan ke hospital akibat tekanan darah rendah.
Kejadian yang berlaku secara mengejut itu membuatkan mereka lebih peka terhadap kesihatan penyanyi berkenaan.
“Ibu saya memang risau tentang keadaan Amira. Kita pun tak pernah tahu yang Amira ada sejarah tekanan darah rendah. Ia berlaku secara mengejut.
“Amira secara tiba-tiba mengalami sakit perut dan doktor minta dia ditahan di hospital. Kami sekeluarga memang agak risau.
Ads
“Kami masih ada beberapa projek bersama. Bila Amira tidak sihat, ia akan beri kesan kepada saya juga. Jadi, kita sama-sama ambil tahu,” jelasnya.
Menjawab isu dua jambangan bunga yang menjadi buah mulut netizen, Fattah menegaskan pemberian itu tidak membawa maksud tersirat.
“Itu semua teori daripada peminat sahaja. Mereka siap bagi maksud tentang bunga-bunga yang saya hantar. Kata mereka, setiap warna dan jumlah kuntum itu ada maknanya.
Ads
“Sebenarnya tiada maksud tersirat pun. Namun, saya hargai usaha mereka yang sangat prihatin.
“Bukan peminat sahaja, rakan-rakan artis dan stesen radio pun ambil berat. Kami jadi terhibur,” akhirinya.
Untuk rekod, Fattah menjadi tumpuan selepas berkongsi gambar Amira terlantar di hospital sambil memegang sejambak bunga tulip, diikuti dengan kiriman bunga mawar merah jambu dan ungu.
Kehadiran ibunya ke hospital pada hari ketiga menambahkan lagi spekulasi netizen terhadap hubungan mereka.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Kebelakangan ini, pelakon Datin Atikah Suhaime mengakui dirinya sering mengalami masalah kurang keyakinan diri, lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan orang ramai selain menjalani rutin harian sebagai ibu baharu.
Menurut Atikah, perasaan itu mula menjadi kebiasaan sehingga suaminya, Datuk Lokman Teh, menegur sikapnya yang sering merendah-rendahkan diri sendiri.
“Saya tersedar yang saya selalu cakap diri saya tak cantik. Sampailah suami tegur kenapa saya selalu cakap macam tu.
“Saya sedar kata-kata kita itu memainkan peranan dalam kehidupan seharian,” tulisnya di Instagram.
Pelakon filem My Stupid Boys ini turut berkongsi, niatnya kini adalah untuk berubah dan meninggalkan tabiat tersebut.
Malah dia juga lebih memilih untuk bersikap positif serta belajar menghargai diri sendiri ketika ini.
“Bila saya mula puji diri sendiri cantik, mulalah melawa-lawa dan pakai cantik-cantik.
“Tapi bila asyik cakap diri sendiri buruk dan gemuk, buruklah jadinya.
“Mak-mak selalu cakap ‘kata-kata adalah doa’. Jadi pujilah diri sendiri sebelum puji orang lain,” tambahnya lagi.
Dapat Sokongan Netizen, Cantik Sebagai Ibu
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen memahami situasi yang dilalui Atikah dan menganggap ia perkara biasa bagi wanita yang baru melahirkan anak.
“Sebenarnya perasaan ini normal untuk mereka yang baru bergelar ibu. Saya beranak tiga kali. Tiga kali jugalah rasa tak cantik. Bila anak-anak sudah besar, barulah kurang rasa insecure itu.”
“Masa belum berkahwin, cantiknya lain. Bila jadi ibu, cantiknya lain. Awak cantik sahaja sebagai ibu.”
“Awak lepas bersalin makin cantik.”
Malah ada juga yang berkongsi pengalaman sendiri selepas ditegur suami kerana terlalu sering bercakap negatif tentang diri.
Imbas kembali, Atikah selamat melahirkan anak perempuan, Lyla Mulan Teh, pada 8 Mac lalu, hasil perkahwinannya dengan usahawan Datuk Lokman Teh.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2024 dalam majlis tertutup yang hanya dihadiri keluarga dan sahabat terdekat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pakar bedah kelahiran Malaysia yang kini menetap di United Kingdom (UK), Dr. Amalina Che Bakri, berkongsi berita gembira mengenai kelahiran cahaya mata keduanya menerusi satu hantaran di laman Instagram, malam semalam.
Bayi perempuan yang diberi nama Aurora Sienna itu dipercayai dilahirkan di Hospital St. Thomas, London, berdasarkan lokasi yang ditandakan pada hantaran tersebut.
“Keluarga kami kini bertambah dari tiga menjadi empat. Kenali cinta baharu dalam hidup kami, Aurora Sienna.
“Arabella sangat teruja menjadi seorang kakak. Alhamdulillah,” katanya menerusi kapsyen bersama beberapa keping gambar yang turut memaparkan suami beliau, Alexander Charles, dan anak sulung mereka, Arabella Mia.
Untuk rekod, Dr. Amalina, yang pernah mencatat sejarah sebagai pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2004 apabila berjaya mencapai keputusan 17A.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Alexander Charles pada 31 Mac 2021 dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Pusat Islam London.
Anak sulung mereka, Arabella Mia, dilahirkan pada Oktober 2022, juga di Hospital St. Thomas.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
SAH Entertainment mencipta sejarah tersendiri apabila bakal menganjurkan konsert artis K-pop buat pertama kali menerusi D’s Wave 2025 Asia Tour In Singapore.
Ia dijadualkan berlangsung pada 2 Ogos 2025, jam 8 malam, bertempat di Arena @ Expo, Singapura.
Konsert ini menampilkan Daesung, salah seorang ahli kumpulan legenda K-pop Big Bang, yang bakal menghiburkan ribuan peminat dengan rangkaian lagu-lagu hit sepanjang kariernya sebagai sebahagian daripada siri jelajah Asia Tenggaranya bagi tahun ini.
Menurut Sufi Rashid selaku Pengarah Urusan SAH Entertainment, pihaknya komited untuk memastikan harga tiket yang ditawarkan adalah berpatutan bagi peminat yang sudah lama menantikan peluang menyaksikan idola mereka secara langsung.
“Untuk konsert Daesung kali ini, pihak penganjur bersetuju untuk memberikan harga yang berpatutan buat para peminat yang dah lama nak saksikan penyanyi itu depan mata mereka.
“Istimewanya kali ini, bukan sahaja pada harga tiket malah kami ada menyediakan faedah seperti sesi Meet And Greet bersama Daesung,” katanya.
Dalam pada itu, Sufi turut menyifatkan momen ini sebagai detik bersejarah buat syarikatnya kerana ia adalah penganjuran konsert K-pop sulung oleh SAH Entertainment.
Sufi juga berkongsi perancangan masa depan untuk membawa lebih ramai artis Korea ke rantau ini.
“Ini konsert artis K-pop pertama yang kita buat, lagi pula siapa tidak kenal Daesung yang juga salah seorang ahli kumpulan Big Bang.
“Jadi tidak salah untuk kami mencuba anjurkan artis K-pop dan mungkin buat perancangan masa depan akan ada lebih banyak lagi insya-Allah,” jelasnya lagi.
Berkongsi soal harapannya pula, besar impian Sufi semoga para peminat akan pulang dengan hati gembira dan kenangan manis sejurus menonton konsert mega itu nanti.
“Saya cuma berharap peminat-peminat yang hadir nanti bergembira dan berseronok sahaja ketika menyaksikan Daesung menyanyi dan hiburkan mereka.
“Saya juga yakin konsert itu nanti akan berikan mereka satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” ujarnya.
Harga tiket bermula daripada SGD288 bagi tempat duduk VIP, SGD238 (Diamond) dan SGD208 (Platinum).
Tiket akan mula dijual pada 23 Jun melalui platform SISTIC dan peminat digalakkan untuk mendapatkan tiket lebih awal susulan jangkaan permintaan yang tinggi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Penyanyi Mell Sakura mengakui hatinya tersentak apabila kemunculan semulanya di Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) disifatkan oleh segelintir pihak sebagai sesuatu yang menjijikkan.