“Bagi Saya Jika Penyanyi Itu Bagus, Boleh Bawa Sampai Ke Juara Lagu, Rasanya Biarlah Mereka Yang Bertanding,” – Noraniza Idris

Lagu Intan Payung yang dipersembahkan oleh Amsyar Leee dan Bunga Isme berjaya lolos sebagai antara 12 buah lagu yang bakal bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) tidak lama lagi.

Pengumuman tersebut diumumkan sejurus Saingan Separuh Akhir Muzik Muzik 36 (SFMM36) yang berlangsung kelmarin dan malam tadi.

Bagaimanapun, penyanyi asal lagu berkenaan bersama Bunga, Noraniza Idris tidak dapat beraksi di pentas separuh akhir berikutan mengerjakan umrah lalu ia digantikan penyanyi baharu, Amsyar Leee.

Bertemu penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Pop Tradisional itu di prapelancaran Festival Perkampungan Budaya Melayu No 1 Malaysia – Malay World Cultural Paradise E-Festour AKZ 5.0 di Shah Alam, sebelum ini, Noraniza atau lebih mesra dengan sapaan Kak Ani ada mengulas mengenai perkara itu.

Baginya, sekiranya lagu tersebut berjaya mara ke AJL36, ia adalah rezeki.

IKLAN

Malah dia terbuka sekiranya sesiapa yang dipilih menggantikannya untuk meneruskan tanggungjawab mempersembahkan lagu tersebut di malam kemuncak AJL36.

“Agak tidak adil untuk saya masuk (menyanyi di AJL36) secara tiba-tiba. Bagi saya jika penyanyi itu bagus dan boleh bawa lagu itu sampai ke Juara Lagu, rasanya biarlah mereka sahaja yang bertanding. Saya tiada masalah,” katanya.

Noraniza sebelum ini mengesahkan dia tidak dapat menyertai SFMM36 kerana berangkat ke Tanah Suci pada 21 Disember lalu.

Terdahulu, majlis pelancaran program yang diusahakannya itu disempurnakan Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim.

Ia dianjurkan bersempena Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara 2022.

IKLAN

Dalam pada itu, penyanyi yang sinonim menerusi lagu Dikir Puteri itu berhasrat menghimpunkan artis Irama Malaysia di bawah satu payung iaitu Pertubuhan Industri Penerbitan dan Artis Rakaman Malaysia.

Menurut Noraniza, pertubuhan itu bukan sahaja berperanan memartabatkan lagu Irama Malaysia yang semakin dipinggirkan, malah menjaga kebajikan penggiat genre muzik itu.

Lagu Intan Payung dicipta Luca Sickta, Bunga dan Amzar Razqa, manakala lirik nukilan Bunga dan Siqma.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.