Penampilan pelakon, Lisa Surihani tampil berhijab nyata mendapat perhatian peminat dan si empunya badan turut berharap dia dapat kekal dengan imej berkenaan.
Bagaimanapun, ibu kepada dua anak ini menganggap keputusan sama ada mahu kekal bertudung atau sebaliknya,menjadi suatu hal yang terlalu peribadi.
“Jauh di sudut hati kecil saya, hal ini (bertudung) memberikan banyak terjemahan dan kesimpulan.
“Saya agak bimbang apabila ada yang membuat andaian perubahan ini (bertudung) sebagai imej baharu.
“Bimbang kalau saya terus muat naik foto memakai tudung, seolah-olah mahu meraih pujian sesama insan.
“Ia sangat peribadi, sebab itu saya ambil masa yang agak lama untuk memuat naik gambar ini. Saya harap terus istiqomah dalam hal ini dan melakukannya kerana Allah. Jauh sekali atas tekanan atau kehendak sesiapa,” katanya seperti yang dipetik BH Online.
Pada masa sama, isteri kepada Yusry Abdul Halim ini turut mengakui mahu berubah, menjadi individu yang lebih baik.
“Dalam hidup ini, kita tak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Setiap hari juga kita cuba mengubah diri menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
“Pengalaman mengerjakan umrah bersama suami, anak dan keluarga baru-baru ini, saya sifatkan begitu indah.
“Moga lembaran baharu ini dapat saya nikmati sebaik mungkin,” katanya.
Terdahulu, imej terkini filem Istanbul Aku Datang itu hangat diperkatakan selepas foto menghadiri majlis anjuran Snap Inc, semalam, yang memperlihatkan dirinya mengenakan tudung, mulai tular.
Malah, rakan artis Intan Ladyana turut berkongsi foto mereka bersama dan Lisa turut mengenakan hijab. Pelakon tersebut turut meminta peminat mendoakan yang terbaik selepas ada yang bertanya sama ada aktres itu sudah bertudung atau sebaliknya.
Tahniah diucapkan buat pengarah filem Hollywood kelahiran Kuching, Sarawak, James Wan telah mengumumkan pertunangannya melalui Instagram dan Facebook miliknya hari ini.
“Saya telah bertunang dengan gadis yang menakjubkan serta cantik ini!” katanya ringkas.
Pengarah yang berjaya mencipta fenomena menerusi filem terbaru arahannya Aquaman, memilih Ingrid Bisu sebagai teman hidup.
Memetik Awani, pasangan berkenaan telah bertunang kira-kira lima bulan lalu.
Bagaimanpun Ingrid menerusi Instagram pula memaklumkan, dia terpaksa merahsiakan berita tersebut sebelum ini.
“Akhirnya hari ini, secara rasmi saya mengumumkan bahawa kami telah bertunang,” katanya pula.
Difahamkan, Ingrid merupakan gadis kacukan Jerman-Romania dan berkebolehan bertutur dalam empat bahasa termasuk Inggeris, Perancis, Jerman dan Latin.
Ingrid juga bukan calang-calang wanita kerana dia yang juga merupakan seorang pelakon pernah tercalon dalam beberapa anugerah berprestij dunia, termasuk Anugerah Oscar, selain turut beraksi dalam filem seram, The Nun.
Penyanyi Mell Sakura mengakui hatinya tersentak apabila kemunculan semulanya di Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) disifatkan oleh segelintir pihak sebagai sesuatu yang menjijikkan.