
Awal Ashaari
Pengacara, Awal Ashaari mengakui dirinya tidak dapat menahan sebak setiap kali mengenang detik-detik awal bergelar bapa dalam membesarkan anak sulungnya, Lara Alana yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-12.
Menurut Awal, pengalaman pertama menjadi bapa banyak mengajarnya tentang kehidupan.
Namun pada masa sama, dia tidak menafikan melakukan pelbagai kesilapan ketika membesarkan Lara.
“Bila bercakap mengenai Lara, saya punyai banyak ‘bittersweet moment’. Dia yang memberikan saya peluang untuk pertama kali menjadi bapa dan membesarkan anak.
“Saya akui, bila membesarkan Lara, banyak kesilapan yang saya pernah buat. Bila sudah di usia sebegini, saya tak melakukan hal yang sama pada anak nombor dua.
“Kalau nak dibanding Lara dan Lila, perjalanan membesarkan anak kedua itu lebih mudah kerana saya sudah belajar daripada kesilapan,” katanya kepada MH.
Awal berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran studio baharu serta pengumuman pengasas bersama platform e-dagang penstriman langsung, JAM, yang berlangsung di ibu negara pada Khamis.
Baca Artikel Lain;
Mengulas lanjut, Awal berkata ada ketika dia mengimbau semula rakaman video lama Lara sehingga membuatkan dirinya menilai kembali setiap keputusan yang pernah diambil sebagai bapa, sebelum ini.
“Bila lihat semula video-video lama Lara, saya merenung semula diri-sendiri. Ada banyak hal sebagai bapa yang saya tidak tahu, tapi saya lakukan kepada Lara.
“Saya persoal kembali diri saya. Bila lihat dia membesar, memang rasa bangga. Sedikit sebanyak saya rasa agak berdosa.
“Bila setiap kali hari raya, saya akan ada momen bersama Lara. Kami akan minta maaf dan saling berpelukan. Bila saya beri ucapan hari lahir semalam, kami juga menangis.
“Menangis kerana saya buat banyak kesilapan. Saya tertanya Lara menangis kerana apa pula? Jadi, dia juga sebenarnya boleh rasa momen membesar dengan saya dan Scha,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Awal turut mengakui dia dan isterinya pernah terlalu teruja sebagai ibu bapa sehingga mahu memberikan pelbagai pengalaman kepada Lara tanpa menyedari ia sebenarnya memberi tekanan kepada anak mereka.
“Bila kita terlalu teruja nak menjadi ibu bapa, kita nak buat semua perkara. Apa sahaja kelas yang Lara tak pergi?
“Dia belajar berkuda, piano, tennis dan macam-macam lagi. Apa orang buat, kita minta dia buat juga.
“Kemudian saya fikir semula, ini semua untuk apa? Dulu kita banyak ‘try and error’. Sebenarnya tak perlu pun semua itu. Jadi untuk anak kedua, tidak begitu.
“Mungkin juga dahulu kita ada banyak tekanan. Apa anak orang buat, kita pun nak buat,” kongsinya lagi.
Tambah Awal, pengalaman membesarkan anak sulung menjadikan dirinya kini lebih matang, selain lebih memahami keperluan sebenar anak-anak.
“Kini, saya menjadi bapa yang lebih waras, memahami dan ikut perkembangan anak. Bukan sekadar buat untuk memenuhi kehendak manusia.
“Dulu Lara sangat sibuk sehingga dia tiada masa untuk membesar seperti anak kecil yang lain. Ada sahaja masa terluang, kita bawa dia keluar.
“Bila buat begitu, kita mahukan dia menjadi manusia. Sebenarnya bila tengok tv sahaja pun boleh juga jadi manusia,” akhirinya.
Untuk rekod, Awal dan Scha mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Lara Alana dan Lyla Amina.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.