Pelakon Jepun, Anna Sawai telah memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama Bersiri Anugerah Golden Globe 2025 bagi peranannya sebagai Toda Mariko dalam drama bersiri Shogun.
Dia berjaya mengetepikan cabaran calon lain yang tidak kurang hebatnya seperti Katy Bates (Matlock), Kiera Knightly (Black Doves), Kerri Russel (The Diplomat), Maya Erskine (Mr & Mrs Smith) dan Emma D’Arcy (House of Dragon).
Menjadikan momen ini lebih manis, pencalonan ini merupakan pencalonan pertama yang diterimanya dalam anugerah berprestij itu.
Menerima anugerah tersebut daripada Salma Hayek dan Colman Domingo, Anna menyampaikan ucapan yang cukup ringkas namun bermakna.
“Saya mempunyai begitu ramai orang untuk berterima kasih, tetapi saya akan pendekkan. Terima kasih kepada pengundi kerana mengundi saya, walaupun saya akan mengundi Kathy Bates pada bila-bila masa,” ucapnya.
Ads
Selain itu, pelakon berusia 32 tahun ini turut berterima kasih kepada penulis naskhah lakonannya yang baginya telah melakukan kerja yang cukup luar biasa.
“Terima kasih kepada penulis kami yang luar biasa. Tanpa skrip yang baik, adalah mustahil untuk memberikan persembahan dengan potensi kita sepenuhnya. Terima kasih, semua orang. Saya akan berterima kasih nanti,” ujarnya mengakhiri ucapan.
Penampilan Anna sebagai Toda Mariko dalam drama bersiri Shogun.
Kejayaan Anna memenangi anugerah dalam ketegori ini mengulangi kejayaan pelakon Jepun lain iaitu Yoko Shimada yang turut menang ketegori tersebut menerusi karakter yang sama pada 1981.
Ads
Imbas kembali, Shogun merupakan novel yang ditulis oleh James Clavell. Novelnya pertama kali diadaptasi ke kaca televisyen pada 1980 dan disiarkan di saluran NBC.
Kemudiannya, karya ini dihasilkan kembali pada 2024 dan disiarkan di saluran FX/Hulu di Amerika Syarikat dan menerusi saluran Disney + untuk pasaran Malaysia.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Ads
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Demi menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang gaya hidup sihat, progam Maskulin Who’s Your Bro telah berkerjasama dengan grup larian popular, Challo Run untuk mengadakan aktiviti ‘fun run’ sempena KL Car Free Day pada Ahad.
Acara ini telah berjaya mengumpulkan hampir 100 pelari untuk sama-sama berlari di tengah-tengah kota dengan para finalis Who’s Your Bro dan anggota Challo Run sejauh 3KM dan 5KM.
Menurut Ketua Bahagian New Gen dan Men & Hobbies Nu Ideaktiv yang juga Editor Pengurusan Maskulin, Fiezreen Ahmad,
kolaborasi ini mencerminkan dedikasi Maskulin untuk mendekati komuniti, sebagai suara yang membentuk gaya hidup positif.
“Penampillan finalis Maskulin: Who’s Your Bro memberikan peluang kepada mereka untuk berinteraksi secara langsung dengan peminat dan penyokong, sesuatu yang jarang berlaku kerana jadual penggambaran yang
padat.
“Keputusan untuk berganding dengan Challo Run adalah tepat kerana kedua-dua pihak membawa pengaruh besar dalam
menyemarakkan semangat kesihatan dan kecergasan.
“Inisiatif ini tidak hanya berhenti di acara ini, ia adalah permulaan kepada hubungan yang lebih strategik oleh Maskulin dan Who’s Your Bro,” katanya.
Jelasnya lagi, Maskulin akan terus berusaha sebagai platform untuk membantu masyarakat menjalani kehidupan yang sihat.
“Matlamat kami adalah membentuk
komuniti yang terus berkembang dan menggalakkan gaya hidup aktif melangkaui hiburan semata-mata.
“Who’s Your Bro X Challo Run adalah bukti
bahawa aktiviti kecergasan boleh menjadi penghubung yang kuat dalam masyarakat.
“Acara ini memperkukuhkan komitmen Maskulin sebagai platform yang mendidik, memotivasi, dan mendekati rakyat Malaysia melalui pendekatan yang bermakna.
“Dengan kehadiran peserta dari pelbagai latar belakang, inisiatif ini berjaya menyampaikan mesej tepat,” ujarnya lagi.
Acara ini turut menyaksikan kehadiran lapan finalis Maskulin Who’s Your Bro iaitu
Saddam Pittli, Irwan Kamaruddin, Hakimi Noordin, Asyraf, Ikmal Amry, Faidzal
Ali, Syafiq, dan Dr. Shazif.
Malah, program Maskulin Who’s Your Bro X Challo Run turut diserikan lagi dengan kehadiran selebriti popular tanah air seperti Aedy Ashraf, Ezrrin Loy, Imran Aqil, Nik Rafaie, dan Safwan Nazri.
Sekadar informasi, program Maskulin Who’s Your Bro kini masih berlangsung dan sudah pun memasuki episod keenam.
Maskulin Who’s Your Bro ditayang pada setiap Jumaat jam 9 malam di saluran Astro Ria dan platform penstriman Astro Go.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Selepas mengeluarkan notis tuntutan permohonan maaf atau letter of demand (LOD) pada 19 Disember lalu, pelakon, Jay Iswazir memaklumkan dirinya masih membuka ruang untuk berbincang dan mencari jalan pendamaian dengan bekas isterinya Azzahra Ahmad.
Menurut Jay, kes ini masih lagi diuruskan oleh pihak peguam.
“Alhamdulillah, pihak Azzahra ada membalas semula LOD. Apa yang boleh saya kongsikan, kami masih di dalam proses berbincang untuk mendapatkan pendamaian.
“Yang kedua, saya nak membersihkan apa yang dikeruh sebelum ini. Selebihnya, saya enggan memberikan komen. Saya tidak mahu berlaku salah faham.
“Apabila saya serahkan perkara ini kepada pihak peguam, biarlah mereka uruskan,” katanya kepada MH.
Jay berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media dan pelancaran lagu runut bunyi bagi filem Dajal yang berlangsung di Starling Mall, Petaling Jaya pada Rabu.
Bagaimanapun, Jay tetap mahu Azzahra membuat permohonan maaf bagi membersihkan namanya.
“Saya tidak akan mendesak walaupun saya mahu membersihkan nama saya. Pada saya, isu ini berlaku disebabkan salah faham dan emosi. Jadi, hal ini tidak boleh dilakukan secara terburu-buru.
“Saya tak boleh pentingkan diri sendiri. Apapun, saya tetap mahukan permohonan maaf tersebut. Namun, saya tidak memaksa.
“Cukuplah sekadar saya memberitahu perkara ini. Sekiranya berlaku lagi, tengoklah nanti tindakannya bagai mana. Seperti yang saya katakan, saya mencari ketenangan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Jay turut memaklumkan dia mempunyai alasan tersendiri mengapa dia memilih untuk berdiam diri selama ini.
“Selama ini, saya berdiam diri kerana saya berpegang bahawa isu ini sangat sensitif. Apa sahaja yang orang fikir dan katakan, pada saya itu hanyalah tindak balas selepas apa yang berlaku.
“Saya berdiam kerana ingin mendapatkan ketenangan untuk berfikir tentang apa yang berlaku dan seharusnya yang saya lakukan.
“Kepada orang-orang di luar sana, saya mengharapkan anda mendoakan yang terbaik,” katanya lagi.
Meskipun namanya terpalit kontroversi, Jay tetap melihat perkara ini dari sudut positif.
“Sebagai manusia, saya ada rasa terkilan. Tapi, Alhamdulillah, saya dikelilingi orang yang menyuruh saya melihat secara positif. Bagi saya, segala yang berlaku ini adalah kebesaran Allah.
“Apabila saya sedar, kita semua banyak kesalahan dan apabila saya melalui ujian ini, daripada saya menyalahkan orang, saya menilai kembali apa yang berlaku. Itu sahajalah,” akhirinya.
Terdahulu, Azzahra diminta membuat permohonan maaf secara terbuka kepada aktor berusia 42 tahun itu bermula tarikh notis tuntutan dikeluarkan iaitu pada 19 Disember 2024.
Sekiranya Azzahra enggan berbuat demikian, Jay akan memfailkan tuntutan di mahkamah dan bertindak menuntut ganti rugi.
Difahamkan, notis tersebut dikeluarkan berhubung kenyataan dibuat Azzahra baru-baru ini mendakwa aktor itu telah mengasarinya dalam tempoh tiga bulan perkahwinan serta didesak untuk menggugurkan kandungan.
Selain itu, Azzahra juga mendakwa Jay culas dalam membayar nafkah selama tempoh dia menjadi isteri.
Sekadar info, Jay dan isteri mendirikan rumah tangga pada Mac 2022 dan mengumumkan perceraian mereka pada 30 November lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Ketika kudapan manis, Kunafa dari Timur Tengah ‘mendunia’ beberapa tahun kebelakangan ini di Malaysia, situasi itu membangkit cetusan idea buat pempengaruh TikTok dan usahawan, Ojen Aiwahhh untuk meneroka bidang baharu menerusi Kunafa Aiwahhh.
Dilancarkan sejak 2022, Ojen atau nama sebenarnya Mohd Ruzain Ahda Mohd Rosli, 29, kini terus optimis untuk terus memperkenalkan jenama berkenaan yang kini sudah mempunyai variasi tujuh pilihan perisa lain termasuklah Red Velvet, Dark Indulgence, Lumut Cheese, Biscoff, Choc Oreo dan Hazelnut Nutella.
Terbaharu, perisa kelapannya iaitu Madu 3 yang berasaskan emping jagung yang dilancarkan secara kolaborasi bersama teman baik yang juga pempengaruh sensasi, Cik Epal.
Ditanya Ojen mengenai kerjasama itu yang dilihat seperti menangguk di air keruh di atas kisah hangat membabitkan isu rumah tangga Cik Epal, bekas penuntut bahasa Arab di Yaman itu tidak melatah.
“Kalau ada yang kata kerjasama ini cuba ambil kesempatan fasal cerita itu, saya kurang bersetuju. Mungkin ia hanya kebetulan. Apa yang saya boleh tekankan kerjasama ini lebih kepada menolong antara satu sama lain.
“Saya sendiri bersimpati dengan apa yang berlaku dalam kisah rumah tangganya. Cik Epal sendiri turut membantu menyebarluas jenama kunafa Aiwahhh.
“Sebagai sahabat, saya tak mahu hanya muncul pada waktu senang. Biarlah ketika susah juga. Dapat juga saya kongsi rezeki dengannya sekali gus dia boleh meneruskan survival kehidupan solo bersama anak,” katanya.
Penyanyi lagu Hubb itu turut menjelaskan, idea kolaborasi ini sebenarnya sudah dirancang lama dan pemilihan perisa Madu 3 bukan gimik dan tiada kaitan dengan tempias rumah tangga Cik Epal.
“Bukan tiba-tiba saja nak keluarkan perisa Madu 3 ini. Nak keluarkan mana-mana perisa baharu perlu ada R&D (penyelidikan dan pembangunan).
“Tambah pula saya tak pernah berkolaborasi dengan mana-mana artis atau pempengaruh. Jadi kenapa tidak saya tampilkan Cik Epal saja untuk kolaborasi sulung ini.
“Pemilihan nama perisa Madu 3 bukan suka-suka. Tapi sebab perisa ini menggunakan tiga jenis madu iaitu honeycomb, drizzle madu dan campuran emping jagung bersama madu. malah perisa ini juga ada tiga lapisan,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, Ojen tidak mempunyai kios atau cawangan kedai tertentu. Sebaliknya, dia bersama pasukan kerja sendiri akan turun padang ke serata negeri demi tujuan promosi.
Disifatkan sebagai perintis usahawan kunafa dengan elemen tekak Melayu, Ojen berkata idea berniaga itu terlintas ketika belajar di Yaman.
“Empat tahun di Yaman dan Setahun di Egypt, Saya lihat kunafa menjadi makanan harian dan pencuci mulut kegemaran. Di Tanah Arab lagi, saya sudah pasang niat, balik ke Malaysia memang kena jual kunafa.
“Lucunya, ada ramai penjual tempatan cuba meniru konsep saya. Termasuklah di kalangan penjual orang Arab. Saya lihat ramai yang mengambil inspirasi.
“Saya jadi bangga konsep ini diterima di kalangan masyarakat dan penjual kunafa. Lagipun saya tak mampu nak jual kepada lebih 33 juta rakyat di negara kita.
“Biarlah sama-sama cari rezeki. Syukur, Allah SWT sudah beri lebih rezeki lebih untuk saya,” katanya yang sudah lengkap melakukan jerayawara seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak tahun lalu.
Tahun ini, dia berazam untuk tembusi pasaran Indonesia dan Brunei.
Sementara itu, Cik Epal atau nama sebenar, Nor Munirah Mahmud optimis dengan kolaborasi bersama Ojen.
“Secara jujurnya saya bukan jenis bekerjasama dengan sembarangan orang. Saya lebih selesa berkolaborasi dengan orang yang sudah dikenali.
“Macam Ojen memang kami sudah lama kenal. Dia pun jenis yang merendah diri, happy go lucky dan senang berurusan.
“Saya sendiri yakin 100 peratus dengan perniagaan kunafanya. Kunafa Aiwahhh antara ‘dessert’ yang sudah lama viral dan ‘mendonia’ ke hari ini. Tipulah lah kalau kata tak pernah nampak Kunafanya jadi ‘fyp’ di TikTok.
“Saya rasa dari dulu kalau buka gerai jualannya, memang penuh dibanjiri peminat kunafanya sampai satu Malaysia ada.
“Jadi waktu Ojen ajak berkolaborasi, memang saya teruja. Ditambah pula nak buat perisa Madu 3 ini, saya sendiri nampak yang ia akan meletup. Waktu kami buat R&D, terus saya bersetuju untuk sama-sama ‘mendonia’,” katanya.
Menjawab pertanyaan mengenai kehidupannya ketika, Cik Epal reda dengan ujian diterima.
“Alhamdulillah saya bersyukur sebab Allah uji saya pada waktu yang tepat. Saya juga bersyukur waktu sebegini, masih ada sahabat lama dan baru yang ikhlas menolong saya.
“Ada yang tak henti-henti memberi motivasi diri pada saya untuk meneruskan kehidupan demi anak dan masa depan yang lebih terang.
“Saya sudah selesa seorang diri buat masa ini. Cukup ada anak menjadi asbab untuk saya terus tersenyum. Saya akan terus berjuang dan takkan kembali dengan kesilapan lalu dengan lelaki yang sama.
“Untuk kembali balik kepada bekas suami itu, saya rasa tak mungkin. Tapi saya takkan sesekali memisahkan anak dengan bapa mereka.
“Apa terjadi, bekas suami tetap bapa kepada anak saya dan dia pernah menjadi bapa yang baik. Itu sahaja,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Dengan undian lebih 120 juta, penyanyi Ernie Zakri dinobatkan sebagai bintang paling popular pada malam kemuncak Anugerqh Bintang Paling Popular ke-37 (ABP37) yang berlangsung di Primiera Hotel, Kuala Lumpur pada Jumaat.