Berita

Anggrek, Adira Suhaimi Juara TTMM2, Kaut Wang Tunai RM40,000 & Kontrak Pengurusan Bernilai RM50,000

Share

Grand Finale Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2) menyaksikan malam penuh gemilang buat penyanyi cilik, Anggrek dan pengurusnya, Adira Suhaimi apabila dinobatkan sebagai juara.

Anggrek dan Adira berjaya mengetepikan cabaran daripada empat finalis lain sekali gus membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM30,000, peruntukan pengurusan dan pemasaran bernilai RM50,000 serta kontrak single baharu.

Pasangan ini turut memenangi anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie sekali gus membawa pulang wang tambahan bernilai RM10,000.

Tempat kedua pula berjaya disandang oleh penyanyi remaja Hussain dan pengurusnya Jamilul Hayat, memenangi wang tunai RM15,000 dan trofi.

Malah, Jamilul Hayat turut dinobatkan sebagai pemenang Manager Paling Perform untuk lima minggu berturut-turut.

Sementara itu, pempengaruh Cik B dan Datuk Seri Vida berada dikedudukan ketiga sekali gus membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000 beserta trofi.

Selain itu, mereka juga bakal menerima peruntukan pegurusan dan pemasaran tajaan Rocketfuel Entertainment serta sebuah single.

Turut Bawa Pulang Set Barangan Kemas

Bukan sahaja wang tunai, ketiga-tiga pemenang turut membawa pulang hadiah berupa set barangan kemas dan pekej percutian.

Tempat keempat disandang oleh Azeva dan Datuk A. Aidan sementara tempat kelima pula dimenangi oleh Kim Khairii dan pengurusnya, Safura Yaakob.

Kedua-dua pasangan ini membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 dan trofi.

Grad Finale TTMM2 dikendalikan oleh pengacara legenda Aznil Nawawi bersama barisan juri tetap iaitu Sarimah Ibrahim serta AC Mizal.

Turut hadir sebagai juri jemputan minggu ini ialah penyanyi terkenal, Hael Hussaini dan Datuk Syafinaz Selamat.

Setiap pasangan ‘pengurus-artis’ dinilai secara keseluruhan dengan pecahan markah sebanyak 60 peratus untuk pengurus dan 40 peratus untuk artis.

Grad Finale TTMM2 turut diserikan lagi dengan persembahan daripada barisan alumni seperti Marsha Q, Amad, Ammar Haikal, Amarra dan Viviana.

Saksikan Talk To My Manager 2 setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), yang bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA.

Program ini juga boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka.

Published by
Aizam Manaf