
Usahawan dan pempengaruh, Siti Jamumall sebak apabila mengenangkan rezeki bakal dikurniakan anak perempuan selepas melalui ujian susulan insiden diceraikan suami, Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, ketika sesi ‘TikTok Live’, minggu lalu.
Menurut Siti Jamumall atau nama sebenarnya, Siti Suriani Wahiddin, 26, dia memang mengimpikan untuk memiliki zuriat perempuan, memandangkan dia anak perempuan tunggal di dalam keluarga.
“Saya mempunyai dua orang anak lelaki. Kemudian, Allah bakal mengurniakan saya seorang puteri. Saya pula ialah satu-satunya anak perempuan daripada enam orang adik-beradik.
“Apa yang boleh saya katakan, anak dalam kandungan saya ini sangat kuat. Sejak awal kehamilan lagi, dia telah melalui pelbagai dugaan.
“Perkahwinan saya dengan Aiman pun belum genap setahun lagi. Malah saya juga pernah alami keguguran sebelum ini. Jadi ini adalah kehamilan kedua saya.
“Alhamdulillah, kandungan kali ini sangat kuat. Sebagai ibu, saya sendiri sudah melalui pelbagai cabaran dan rasa sedih yang mendalam tapi dia (anak) bertahan,” katanya kepada MH.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Bacaan Yasin & Doa Selamat di Masjid Setia Alam, pada Khamis.
Pada majlis tersebut, turut hadir hampir 100 anak-anak tahfiz dari Madrasatul Quran Darussalamah (MQDS), Setia Alam.
Nama Anak Perempuan Sulung
Ditanya pemilihan nama anak yang bakal lahir, Siti yang kini sedang hamil lima bulan mendedahkan dia dan Aiman masih belum mempunyai nama buat permata hati yang bakal lahir.
“Tentang nama anak, sebenarnya kami belum merancang lagi sebab pada waktu itu, kami belum tahu jantinanya.
“Cuma selepas insiden di sesi siaran langsung tersebut, saya menjalani pemeriksaan kehamilan pertama beberapa hari lalu dan ketika itulah baru tahu jantina anak.
”Memang sedihlah sebab kitaorang memang teringin anak perempuan.
“Walaupun dalam keadaan yang mengecewakan, saya masih berkomunikasi dengan Aiman.
”Pada waktu itu, saya tidak menyampaikan berita tersebut (jantina anak) sendiri, tetapi disampaikan oleh kawan saya.
“Lalu kawan saya beritahu, Aiman juga menangis apabila diberitahu anak yang saya kandung ialah perempuan,” katanya lagi.
Ramai Netizen Beri Kata Semangat
Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata lelaki ini turut terharu apabila masih ada warganet yang mendoakan yang baik-baik terhadap apa yang telah berlaku.
“Saya juga bersyukur kerana ada pengikut-pengikut yang sangat baik hati. Ramai yang mendoakan saya dan menunjukkan ada rasa ehsan.
“Walaupun isu ini sangat panas dan pelbagai andaian boleh dibuat, namun masih ada dalam kalangan mereka yang mengambil berat.
“Ada yang meminta netizen lain supaya tidak mengganggu kesihatan mental saya.
“Alhamdulillah, masih ramai baik, ada ihsan dan mendoakan yang terbaik buat saya dan anak-anak”, katanya yang kini hanya mahu beri fokus terhadap diri-sendiri dan keluarga.
Terdahulu, pasangan pempengaruh tersebut mengejutkan ramai apabila Khairul Aiman atau Aiman Tak Kesah melafazkan cerai terhadap Siti yang ketika itu sedang membuat siaran langsung di TikTok.
Difahamkan, Khairul Aiman melafazkan cerai kepada Siti Suriani, 26, sebanyak tiga kali sebelum siaran itu dihentikan secara mengejut.
Pada 6 Mei lalu, mereka pernah berpisah namun memutuskan kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan lafaz cerai dibuat.
Ini merupakan perkahwinan pertama buat Aiman dan kedua buat Siti Jamumall yang sebelum ini pernah berkahwin dengan Mohammad Syafiq pada 2019 dan bercerai pada Disember 2022.
Hasil perkahwinan terdahulu, dia dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Putra Adam Rizki, 6, dan Putra Aiman Zafran, 4.
Siti dan Aiman mendirikan rumah tangga di Satun, Thailand pada awal Jun 2024.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI