
Pelakon sinetron terkenal Indonesia, Ammar Zoni, sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila ditahan atas dakwaan terlibat dalam pengedaran dadah dari dalam Rumah Tahanan (Rutan) Salemba, Jakarta Pusat.
Penahanan ini sekali lagi menggugat reputasinya dalam dunia hiburan Indonesia yang sebelum ini turut digemparkan dengan beberapa kes serupa.
Menurut laporan CNN Indonesia, Ammar Zoni ditahan bersama lima individu lain selepas pihak berkuasa mengesan kegiatan penyeludupan dan penjualan syabu serta ganja sintetik.
Aktiviti itu dipercayai dijalankan secara terancang dengan bantuan pihak luar bagi melicinkan proses pengedaran dadah kepada penghuni tahanan di dalam penjara.
Berdasarkan kenyataan polis, siasatan dijalankan mengikut Pasal 114 Ayat (2) jo Pasal 132 Ayat (1) dan Pasal 112 Ayat (2) jo Pasal 132 Ayat (1) Undang-Undang No. 35 Tahun 2009 tentang Narkotika.
Jika sabit kesalahan, pelakon sinetron itu berdepan hukuman maksimum mati kerana terlibat dalam pengedaran dadah berskala besar.

BACA JUGA: Pelakon Filem Madu Murni Ditangkap Polis Kali Ketiga Kerana Dadah
Kes terbaharu ini menambah panjang senarai kesalahan lampau Ammar Zoni, 33, yang pernah beberapa kali ditahan atas kesalahan serupa. Beliau pertama kali ditangkap pada tahun 2017 atas dakwaan penyalahgunaan dadah, sebelum sekali lagi diberkas pada tahun 2023.
Pada Jun lalu, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda Rp1 bilion (kira-kira RM290,000) terhadap pelakon tersebut selepas disabitkan kesalahan memiliki dan menggunakan bahan terlarang.
Namun sebelum tempoh hukuman itu berakhir, namanya sekali lagi dikaitkan dengan pengedaran dadah dari balik tirai besi. Laporan lanjut menyebut Ammar disyaki memainkan peranan sebagai penghubung utama antara tahanan dengan pengedar di luar penjara.
Polis kini sedang memperluas siasatan untuk menentukan sejauh mana keterlibatan sebenar beliau dalam rangkaian pengedaran dadah tersebut.
Sekiranya didapati bersalah di bawah undang-undang sedia ada, Ammar bukan sahaja berdepan hukuman mati, malah berisiko kehilangan hak-hak banduan seperti peluang pembebasan bersyarat dan pengurangan hukuman.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!













