Kali pertama aktor berbangsa Cina, Alvin Chong ‘mengetuk’ atmosfera hiburan Melayu adalah menerusi drama Dia Semanis Honey lakonan Alif Satar dan Siti Nordiana, tahun lalu.

Biarpun penglibatannya menerusi drama tersebut tidaklah besar, namun setidak-tidaknya membuka ruang lebih besar buat anak jati Pulau Pinang ini untuk terus melebar sayap dalam dunia seni.

Selepas itu, namanya kian menampakkan sinar apabila lakonannya sebagai kawan baik Fattah Amin menerusi drama Suri Hati Mr Pilot mencetuskan fenomena yang bukan calang-calang.

Penangannya, drama tersebut benar-benar memberi kesan buat pemilik nama lengkap Alvin Chean Wah Chong ini untuk terus fokus dalam apa dilakukan sekarang.

Ads

“Saya sedar, selepas terlibat drama tersebut, rata-rata peminat beri harapan tinggi, mahu lihat saya berlakon di dalam produksi yang bagus. Walaupun saya anggap itu sebagai pujian, tapi pada masa sama rasa bimbang juga kalau saya tidak dapat beri apa mereka mahu.

 

“Apapun, saya cuba beri yang terbaik untuk peminat sebab saya sedar, bukan mudah selebriti bukan Melayu macam saya diterima dengan baik dalam seni kontemporari.

 

“Bila dapat perhatian dan pujian peminat, rasanya ia kepuasan dan semangat buat saya juga,” katanya ketika ditemui pada program Rioooh Raya 2017 GM Klang, Selangor, baru-baru ini.

Turut terlibat sama di dalam program Aidilfitri itu ialah Awal Ashaari, Khai Bahar dan Erra Fazira.

Menyifatkan program seumpamanya sebagai platform untuk menambat lebih ramai peminat khasnya di kalangan Melayu, pemuda berusia 26 tahun ini juga mengakui cukup berminat dengan dunia nyanyian.

“Saya bersama rakan artis lain di Rioooh Raya GM Klang 2017 untuk menghiburkan pengunjung di sini dengan mendendangkan beberapa  lagu. Saya gemar menyanyi dan itu antara minat pertama saya selepas berlakon.

 

“Rasa seronok bila dapat hiburkan peminat, apatah lagi pada musim perayaan ini,” kongsi Alvin yang menyampaikan beberapa buah lagu di dalam program berkenaan.

Terdahulu, Alvin turut mempunyai single berbahasa Melayu berjudul Lagu Mu, ciptaan Omar K.

Ads

“Mungkin ramai tidak sedar saya sebenarnya bermula dalam dengan nyanyian lebih lima tahun lalu, selain mempunyai beberapa album Mandarin.

 

“Cumanya, tuah saya untuk dikenali dalam dunia hiburan tempatan adalah menerusi lakonan. Jadi, peluang yang ada saya ambil untuk mengetengahkan single Melayu pertama saya tahun lalu. Sambutannya boleh dikatakan baik, meskipun ia tidaklah ‘boom’ sangat.

 

“Kalau jika mahu rakam single Melayu kedua, saya perlu cari jalan yang lebih proaktif untuk memperkenalkan lagu tersebut. Mungkin menyanyi untuk lagu tema sesebuah drama,” tutur Alvin jujur.

Berbalik kepada soal kerjaya lakonannya, Alvin akui tidak sabar kembali sibuk di lokasi penggambaran bulan depan bagi memenuhi komitmennya terhadap drama terbaru.

Drama sebanyak 16 episod itu bakal menyaksikan gandingan keduanya bersama aktres berbakat, Emma Maembong. Bercerita dengan lebih lanjut, drama berjudul Awak Suka Saya Tak?,  drama yang diangkat daripada novel.

Ads

“Kali pertama kami digandingkan menerusi drama Tangisan Kubur . Jadi, kalau nak dikatakan soal keserasian, itu tidak jadi masalah besar kerana kami sudah bekerjasama sebelum ini.

 

“Emma juga banyak beri tunjuk ajar ketika kami di set dulu. Pastinya, ia jadi lebih mudah dan berjalan lancar,” tambah Alvin yang bakal beraksi sebagai mualaf dalam drama yang bakal ditayang di Astro.

Sementara itu, Alvin yang bakal muncul menerusi sebuah lagi program realiti bulan depan turut memberitahu Media Hiburan, akan melebarkan saya ke Tanah Besar China, akhir tahun ini.

Baginya, ini masa paling sesuai melihat sejauh mana keupayaannya dalam mencuba nasib di negara orang.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI