Penyanyi Sufi Rashid memilih untuk tidak berkongsi wajah bayi sulungnya di media sosial buat masa ini, bukan kerana bimbang penyakit ain.
Sebaliknya, ia sebagai tanda hormat kepada rakan-rakan yang masih berusaha mendapatkan zuriat.
Menurut Sufi, dia bersyukur kerana dikurniakan rezeki menimang cahaya mata selepas hampir lima tahun merancang.
“Ramai yang bertanya dan ada yang ingat saya tak mahu kongsi gambar anak kerana bimbang penyakit ain. Terus terang, saya nafikan perkara itu.
“Sebenarnya, saya ada ramai kawan yang sudah lama berusaha mendapatkan zuriat. Ada yang berkahwin lebih 10 tahun tetapi masih mencuba.
“Buat saya dan isteri pula, ramai tahu kami merancang. Selepas lima tahun, bila kami cuba, tak sangka terus lekat dalam masa yang agak singkat,” katanya kepada MH.
Sufi berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert Insomniacks, Dolla dan Ernie Zakri di ibu negara, baru-baru ini.
Syarikat miliknya, SAH Entertainment, bertindak sebagai penganjur konsert tersebut.
Juara Akademi Fantasia 2015 itu bagaimanapun menjelaskan, dia dan isteri tidak akan selamanya berbuat demikian.
“Saya dan isteri memang sangat teruja nak berkongsi tentang anak. Tapi, ketika isteri saya hamil, ramai yang minta tips dan ada juga yang meluahkan kesedihan.
“Ada yang kata kami bertuah kerana terus dikurniakan cahaya mata. Jadi, kami nak jaga hati mereka. Tapi kalau di luar, kami tak sembunyikan pun wajah anak.
“Sama ada di Singapura atau Malaysia, masyarakat kita memang suka beri komen fasal anak.
“Jadi, kami putuskan untuk tidak berkongsi wajahnya di media sosial sehingga dia berusia setahun,”kongsinya lagi.
Tambah Sufi, pendekatan ini adalah antara caranya dalam menghargai rakan-rakan yang sentiasa bersamanya di saat susah dan senang.
“Mereka adalah individu yang selalu ada dengan saya. Jadi, ini cara saya menghargai mereka. Mereka juga faham situasi saya.
“Saya tak mahu mereka rasa terbanding atau membandingkan kehidupan mereka dengan saya. Setiap orang ada rezeki masing-masing,” katanya lagi.
Pada 13 November tahun lalu, Sufi memaklumkan isterinya, Nurulain Md Yusof, telah selamat melahirkan bayi perempuan, Sabreen Aleyna, selepas lima tahun menanti cahaya mata.
Sufi dan Nurulain mendirikan rumah tangga pada 21 September 2019.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Selepas sekian lama tidak muncul di khalayak ramai, penyanyi Zizi Kirana meluahkan rasa terujanya apabila mendengar khabar tentang kemungkinan kemunculan semula penyanyi rap dan penulis lagu terkenal, Malique.
Menurut Zizi, bukan sahaja peminat, malah rakan-rakan artis yang pernah berkerjasama dengan Malique juga pasti merindui kehadiran figura tersebut di pentas persembahan.
“Kalau betul dia nak buat comeback, memang ‘love’ sangat. Ramai yang memang menanti-nantikan kemunculan semula Malique.
“Lagipun, rasanya sudah berbelas tahun dia tidak muncul atau membuat persembahan di khalayak ramai,” katanya kepada MH.
Petunjuk Kemunculan Semula Malique?
Kebelakangan ini, nama bekas anggota kumpulan Too Phat itu kembali menjadi perbualan selepas Iman Tangyang juga promoter konsert, memuat naik gambar di studio rakaman milik Malique, Qarma Studios.
Lebih mencuri perhatian, Malique juga dilihat telah membuka akaun Instagram sendiri, satu langkah yang jarang dilakukan oleh penyanyi yang dikenali dengan sifat privasinya.
Malah Zizi mengakui, ini bukan kali pertama dia mendengar Iman Tang cuba membawa Malique kembali ke pentas.
“Saya sampai hantar mesej kepada Abang Iman Tang. Saya tanya betul ke nak bawa Malique keluar? Iman Tang pun sebelum ini sudah pernah propose projek kepada Malique.
“Dia sanggup bayar RM1.5 juta sehingga RM2 juta pada 2019. Mungkin ketika itu Malique belum betul-betul bersedia.
“Jika dia sudah memberikan ‘hint’ seperti ini, kita tunggu sahajalah,” ujarnya lagi.
Malique Tidak ‘Hilang’
Bercakap mengenai kehidupan terkini Malique, Zizi menjelaskan penyanyi itu tidak ‘menghilang’ seperti yang disangka ramai, sebaliknya menjalani kehidupan seperti orang biasa.
“Dia masih menjalankan rutin seperti manusia biasa. Dia juga ada pergi ke kedai, beli barang dapur dan hantar anak ke sekolah.
“Kalau betul-betul dia nak keluar semula, kami memang menanti-nantikan. Kami pun sudah lama pujuk dia untuk comeback. Ramai yang nak tengok Eminem Asia kembali beraksi.
“Jika dia putuskan untuk muncul sekarang, mesti ada sebab dia buat sebegitu. Kita doakan semoga Malique akan adakan konsert. Saya tak sabar nak tonton,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon Fattah Amin menafikan dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya mengabaikan anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya, 4, kerana terlalu sibuk dengan komitmen kerja.
Malah, Fattah, 34, turut menolak tuduhan bahawa perkongsiannya di media sosial ketika bertemu anak sebelum ini hanyalah untuk meraih perhatian.
“Ada pihak yang kata saya terlalu sibuk sampai tak sempat jumpa anak. Saya terkilan dengan tuduhan seperti itu.
“Takkanlah setiap kali saya jumpa anak, saya perlu muat naik gambar atau video semata-mata untuk tunjuk kepada semua orang. Buat apa, kan?
“Cuma ada masanya saya rasa nak kongsi, saya akan muat naik. Saya kongsi bukan sebab nak buat konten.
“Tapi ada pula yang cakap bila dah jumpa anak, nak tunjuk dekat orang. Macam-macam persepsi,” katanya ketika ditemui pada karnival beli-belah Celebfest Ramadan di Suntec, Singapura, pada Jumaat.
Fattah berharap agar orang ramai tidak terus membuat spekulasi mengenai hubungannya dengan anak, memandangkan mereka masih berjumpa dan bekas isterinya, Nur Fazura, turut memberikan kerjasama yang baik.
“Saya sendiri pening kepala dengan dakwaan-dakwaan ini. Bila saya kongsi, orang kata nak buat konten. Bila tak kongsi, orang kata saya tak jumpa anak.
“Jadi, saya nak perbetulkan keadaan bahawa saya ada berjumpa anak saya beberapa kali, cuma ada masanya kita faham dia tak sihat dan mungkin tak mahu keluar.
“Jadi tolong jangan salahkan sesiapa kerana perkongsian saya sebelum ini nak beritahu saya ada berjumpa anak saya.
“Pihak Fazura pun memberi kerjasama yang baik. Tak ada sesiapa yang salah dalam hal ini,” katanya lagi.
Mengenai perkongsiannya di Instagram Stories yang memohon doa untuk kesihatan anaknya, Fattah menjelaskan bahawa dia hanya meluahkan perasaan sebagai seorang bapa.
“Saya tak dapat jumpa dia sebab keadaan dia tidak sihat ketika ini. Sebagai bapa, saya perlu faham keadaan dan perasaan dia, jadi tak boleh nak paksa dia untuk jumpa saya.
“Macam yang anda sendiri tengok, keadaan dia tak sihat dan tak mahu berjumpa. Perkongsian saya itu hanya luahan hati seorang bapa saja,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Girl group popular, DOLLA bakal mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa menerusi penyertaan mereka di The A Festival Paris yang akan berlangsung pada 24...