
Pelakon dan pelawak veteran, Kamarool Cik Man atau nama sebenarnya Kamarool Haji Yusoff, dilaporkan meninggal dunia pada usia 67 tahun kira-kira jam 5 petang tadi.
Berita pemergian pelakon itu disahkan anak keduanya, Fakhrol Aliff yang memaklumkan bapanya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tanah Merah, Kelantan.
“Saya baru balik dari rumah tadi, rasanya dalam pukul 5 petang.
“Saya balik mandi lepas jaga abah tadi selepas itu kakak telefon kata datang hospital sebab abah dah tak ada,” katanya.
Menurut Fakhrol lagi, bapanya yang popular menerusi filem Rock Oo itu sebelum ini tidak mengalami masalah kesihatan serius, kecuali pernah diserang sakit jantung dua tahun lalu.
“Abah sebelum ini tak sakit teruk pun, kali terakhir dia kena serangan jantung dua tahun lepas.
“Selepas daripada itu, periksa jantung semua tak ada tapi dia selalu macam gastrik. Dia teruk semalam.
“Dia ada mengadu sakit tapi gastrik, sakit perut dan sakit belakang. Macam angin begitulah.
“Jadi, bila nak ajak pergi hospital dia tak nak. Semalam, dia dah tak tahan sangat dah,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Fakhrol memaklumkan pihak keluarga masih belum mengetahui maklumat lanjut berhubung urusan pengebumian Allahyarham.
Semalam, Allahyarham Cik Man ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas disahkan mengalami masalah saluran jantung tersumbat.
Untuk rekod, Allahyarham memulakan kemunculan sulung menerusi watak Farouk dalam filem
Gila-Gila Remaja.Nama Farouk yang cukup sinonim dalam kalangan peminat era 1980-an kemudiannya digantikan dengan panggilan Cik Man, menerusi watak ikonik yang dibawakannya dalam filem Rock Oo arahan Allahyarham Mamat Khalid.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.