
Aktres dan pengacara, Janna Nick membuat kejutan apabila pulang ke tanah air semata-mata untuk bertemu sahabat baiknya yang telah lama terpisah, pelakon Azar Azmi.
Menurut Janna, kepulangannya itu bukan sekadar pertemuan biasa, sebaliknya bagi menunaikan janji yang pernah dibuat selain berharap agar Azar dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.
“Aku sudah tunaikan janji aku untuk balik jumpa kau. Jadi, kau kena tunaikan janji kau juga okay.
“Aku tak nak kau lalu jalan yang sama lagi. Semoga Allah limpahkan rezeki kau dan bagi peluang yang best untuk kau,” kongsinya
Luahan tersebut diluahkan bekas pengacara Melodi itu menerusi satu hantaran di Instagram.
Dalam hantaran sama, Janna turut memuat naik video yang memaparkan momen pertemuan mereka yang berlangsung di sebuah restoran.
Jelas Janna lagi, pertemuan tersebut bukan untuk membincangkan ujian atau dugaan yang sedang dilalui Azar ketika ini, sebaliknya dia hanya mahu meluangkan masa bersama sahabatnya itu.
“Saya nak jumpa kawan yang telah lama menghilang. Hari ini kita makan sahaja. Tak perlu cakap apa-apa.
“Saya tahu dia penat dengan segalanya tapi tetap kuatkan semangat demi anak-anak. Semoga Allah permudahkan segala urusan kau,” kongsinya lagi.
Video berdurasi lebih satu minit itu nyata menarik perhatian ramai, dengan rata-rata netizen meluahkan rasa kagum terhadap sikap Janna yang sentiasa ada dalam memberi sokongan kepada sahabat baik.
“Betapa baiknya Azar ini. Semua kawan-kawan merinduinya.”
“Allah SWT maha kaya. Dia bagi hujan dan akhirnya hadirkan pelangi dan mentari yang bersinar. Semoga bahagia sampai ke syurga. Bagusnya Janna sanggup luang masa demi sahabat baik.”
“Saya sangat tersentuh. Sahabat dunia akhirat. Semoga Allah jaga ukhwah kalian.”
“Semua orang cari dia saat dia hilang. Itu tanda dia seorang pelakon yang bagus. Bukan biasa-biasa. Kesilapannya bila dia jatuh ke tangan orang yang tidak tepat. Tolong keluarkan dia dari situ.”
Sehingga kini, video tersebut telah meraih hampir sejuta tontonan di Instagram.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini