“Agak Takut Bila Ada Babak Dikafankan,” – Terbayang Wajah Kematian, Farhan Asri Cerita Jadi Jenazah

Pelakon Farhan Asrii ada berkongsi pengalamannya sewaktu melakonkan babak sedang dikafankan dalam drama terbaru terbitan A. Aida Productions, Menantu Tok Sintok.

Sedang rancak menjalani penggambaran, babak berkenaan sememangnya agak mencabar kemampuannya. Malah, bintang ini turut insafi diri.

“Bismillah.. Allahuakhbar..Salam jumaat semua. Kematian bukan satu perkara yang ditunggu-tunggu oleh kita semua. Namun mati itu pasti dan ia kekal menjadi rahsia Allah.

“Beginilah agaknya rupa wajah terakhir saya sebelum ke negara abadi. Perasaan sedih, tergamam, gemuruh, takut, gementar dan macam-macam lagi bermain di fikiran masa penggambaran drama Menantu Tok Sintok.

“Agak takut jugalah bila ada babak dikafankan. Watak Badrol yang saya bawakan ini benar-benar memberi iktibar dan keinsafan. Gila tak insaf bila tengok diri sendiri dikafankan,” tulisnya.

IKLAN

Kenyataan tersebut dikongsikan naib juara Hero Remaja 2017/2018 menerusi sebuah entri yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Farhan turut mendedahkan dirinya banyak menimba pengalaman baru sewaktu menjayakan drama ini terutamanya mengenai soal pengurusan jenazah.

“Jujur cakap saya belajar banyak benda dalam drama ini seperti mandikan jenazah, kafankan jenazah mahupun gali kubur.

“Saya bersyukur Allah bagi saya rezeki ini. Sedikit sebanyak Dia jentik hati saya supaya tak terus leka. Saya juga timba satu pengalaman baru yang tak pernah saya bayangkan dan tak mudah untuk dilakukan sebab pikul tanggungjawab berat kali ini.

“Eh! emosi pulak hari ini. Sebenarnya just nak share ini salah satu babak yang perlu saya bawakan dalam drama Menantu Tok Sintok siaran Salam Hd tak lama lagi,” kongsinya lagi.

Pada masa sama, Farhan turut menitipkan ucapan terima kasih kepada penerbit, Datuk A. Aida yang memberinya peluang selain turut mempercayai bakat yang dimilikinya.

“Doakan semoga perjalanan karier saya dipermudahkan dan mendapat kepercayaan ramai.

IKLAN

“Terima kasih kepada penerbit Datuk @a_aidaproduction sebab beri kepercayaan dan tidak dilupakan pengarah hebat Lizam Togel (Ujang) sebab selalu mencabar saya jadi lebih baik serta krew produksi yang sporting dan terbaik,” akhirnya.

Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen tersentuh selain turut mendoakan moga Farhan terus sukses pada masa akan datang.


Terdahulu, difahamkan drama, Menantu Tok Sintok ini bakal ditayangkan di saluran Salam HD, Unifi TV tidak lama lagi.

Sumber: Instagram Farhan Asri