Selepas selamat bersalin anak pertama, Mac lalu, penyanyi Adira Suhaimi mendedahkan dia sudah pun kembali aktif selepas berakhirnya tempoh berpantang.
Biarpun perlu menguruskan bayi comelnya, Anggerik, Adira anggap tanggungjawab itu bukan kekangan dan ada kalanya perlu membawa anak ke lokasi persembahan.
Adira juga bertuah kerana suaminya, Datuk Seri Adnan Abu tidak pernah menghalang minatnya.
“Tapi, disebabkan anak masih kecil, saya hanya terima tawaran di sekitar Kuala Lumpur. Kalau perlu saya akan bawa Anggerik bersama. Kalau tidak, saya tinggalkan dia bersama pembantu rumah,” katanya ketika ditemui pada rakaman Melodi Raya, baru-baru ini.
Adira juga merancang tampil dengan single baru yang kini dalam perbincangan dengan pihak pengurusan.
“Tapi saya tak mahu terburu-buru. Bila dah jumpa yang berkenan di hati barulah saya akan rakam lagu,” jelasnya mahu tampil dengan single yang catchy.
Adira berkata, biarpun sudah lama tidak tampil dengan single baru, dia percaya dengan perancangan yang dibuat oleh syarikat pengurusan sejak dia hamil lagi.
“Walaupun tak ada single baru tapi pihak pengurusan bijak susun lagu saya untuk stesen radio. Jadi tidaklah nampak saya terus diam begitu sahaja,” ujarnya.
Berkongsi mengenai kehidupannya kini, Adira berkata, banyak perubahan yang berlaku namun tidak membebankannya, malah dia juga berdebar dan teruja membawa Anggerik pulang berhari raya di kampung halamannya di Ranau, Sabah.
“Tak sukar jaga Anggerik. Kalau lapar baru dia merengek.
Kata Adira, Ramadan ini dia masih menerima tawaran nyanyian dan akan pulang ke Sabah penghujung Ramadan ini selain berada di sana selama dua minggu.
“Sejak Anggerik lahir, saya belum berkesempatan lagi bawa dia pulang ke kampung. Walaupun teruja, saya bimbang juga sebab Anggerik perlu melalui perjalanan yang panjang untuk sampai ke kampung. Harap dia tak meragamlah,” jelasnya.
https://www.instagram.com/p/BT6lUiYjD94/?taken-by=anggrek_aa
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI