Berita

“Ada Yang Komen ‘Anak Bangang, Bapa Pun Bangang’…,” – Kritikan Negatif Buat Pak Azad & Amarra Lebih Kuat, Percaya Balasan Allah SWT

Share

Pelakon dan penyampai radio, Azad Jazmin akui terkilan dengan komen-komen melampau yang dilemparkan, khususnya terhadap anak sulung, Amarra Sofea sejak menyertai program Talk To My Manager Musim Ke-2 (TTMM2).

Bagaimanapun, Azad menyifatkan segala kecaman yang diterima itu secara tidak langsung menjadikan dirinya lebih kuat, terutama dalam usaha melindungi keluarga tercinta.

“Sebagai ayah kepada anak sulung dan ibu yang melahirkannya secara pembedahan, sudah tentu kami terasa. Saya sendiri menangis ketika melihat Eira melahirkan Amarra. Takkanlah bila dia kena kecam, saya tak terasa.

“Namun, ujian seperti ini menguatkan saya setiap hari. Saya tak anggap kecaman netizen itu satu kelemahan buat saya dan seluruh ahli keluarga. Kecaman mereka tak menggoyangkan saya.

“Saya telah dilatih oleh arwah bapa untuk menjadi seorang yang kuat,” katanya kepada MH.

Azad berkata demikian ketika ditemui selepas tamat konsert minggu keenam TTMM2 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.

Dalam pada itu, Azad turut meluahkan rasa bangga terhadap Amarra yang tidak pernah patah semangat meskipun berdepan kecaman hebat sejak kebelakangan ini.

“Saya dan Eira sudah biasa hadap kecaman. Pada saya, kalau kita bukan seperti mana yang orang katakan, kenapa kita nak rasa takut. Itulah yang saya ajar kepada anak saya.

“Walaupun usianya baru 13 tahun, kecaman tetap kecaman. Di sini pun ada ketidakadilan. Yang kecam Amarra, mereka boleh lihat anak saya. Namun, anak saya tak boleh lihat mereka.

“Anak saya seorang yang kuat. Ini baru 13 tahun. Selepas ini, dia pasti akan jadi lebih kuat. Saya harap satu hari nanti dia cipta identitinya sendiri,” ujarnya lagi.

Terkilan, Percaya Setiap Perbuatan Ada Balasan

Pada masa sama, Azad juga kecewa apabila mendapati ada individu yang meninggalkan komen keterlaluan terhadap anaknya terdiri daripada golongan ibu bapa yang sudah berkeluarga.

Menurutnya, orang luar tidak mempunyai hak untuk menentukan apa yang terbaik buat Amarra kerana sebagai bapa dan pengurus, dia lebih memahami kelebihan serta kekurangan anaknya sendiri.

“Saya membalas kepada akaun-akaun yang bukan palsu. Malah, mereka juga sudah punyai keluarga. Itu yang buat saya sangat sedih. Di profil tulis ‘I’m a proud mother’ tapi dia mengutuk anak saya. Pelik bukan?

“Ada satu komen yang kata ‘Anak bangang, bapa pun bangang’. Komen mereka ini bukan berbentuk nasihat. Ada juga yang kata saya guna kabel dan anak saya tak pernah nyanyi lagu balada.

“Komen itu ada betulnya juga tapi saya adalah bapa dan pengurus kepada Amarra. Saya tahu apa kelebihan dan kekurangan dia. Saya tidak akan sesekali mendengar nasihat orang lain demi nak puaskan hati mereka.

“Macam mereka pula lebih tahu. Ayat-ayat mereka ini beri contoh buruk juga kepada kanak-kanak yang berusia 13 tahun dan keluarga mereka sendiri,” katanya lagi.

Jelas Azad lagi, setiap perbuatan manusia pasti mempunyai balasannya, sama ada baik mahupun buruk.

“Berhati-hati sebelum berbicara. Anda mungkin tak tahu, perkara yang sama boleh berlaku kepada keluarga anda pada bila-bila masa sahaja.

“Kepada anda di luar sana yang memaki hamun ke semua peserta TTMM2 di media sosial, dengarlah pesanan saya, kita ada kifarah. Allah kata ‘Kun faya kun’,” akhirinya.

Sejak beberapa minggu lalu, Amarra menjadi antara peserta TTMM2 yang teruk menerima kecaman daripada warga maya.

Namun, situasi tersebut sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus memberikan persembahan terbaik sehingga berjaya meraih standing ovation daripada juri tetap selama dua minggu berturut-turut.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf