Categories: Berita Hiburan

Ada Penonton Kritik, Fasha Sandha Pertahan Johan As’ari – “Saya Pasti ‘Back Up’ Hero Saya.”

Share

Aktres popular, Fasha Sandha tampil bersuara susulan ada segelintir penonton yang memberikan reaksi seolah-olah mempertikaikan gandingan hero menerusi drama terbaharunya, Kasih Yang Terkorban iaitu Johan As’ari.

Menerusi satu perkongsian di Threads, Fasha memohon agar penonton memberikan peluang kepada rakan gandingannya itu meski menghargai sokongan yang diberikan penonton.

“Terima kasih kerana menonton, kakak hargai sangat. Cuma minta jasa baik, bagi peluang pada hero kakak

“Dia sangat berbakat dan telah memberikan yang terbaik. Dia adalah pilihan penerbit, pengarah dan stesen TV.

“Kerana rezeki Allah juga, dia dapat memegang watak Johari dengan usaha yang baik,” jelasnya, baru-baru ini.

Fasha turut berpendapat, penonton wajar menonton keseluruhan drama itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian terhadap watak yang dipersembahkan.

“Tolong tengok dulu okay.. insya-Allah kisah antara dua darjat ini dapat beri banyak pengajaran.

“Tentang kesetiaan, keluarga dan cinta. Dan cinta tidak semestinya bersatu… Terima kasih,” kongsinya lagi.

“Pasti Akan ‘Back Up’ Hero Saya”

Dalam hantaran berasingan, Fasha turut mengimbas kembali situasi sama yang pernah dialami pelakon Firdaus Karim ketika membawakan watak Ustaz Irfan dalam drama Doa Yang Terlindung.

Menurutnya, walaupun Firdaus pernah menerima teguran pada awal kemunculannya, watak tersebut akhirnya berjaya mencuri hati penonton.

“Dulu Ustaz Irfan pun kena tegur, akhirnya watak itu disayangi kerana bakat dan rupa ‘charming’.

“Sekarang Johan pula… Sebagai heroin saya pasti akan ‘back up’ hero saya kerana saya adalah saksi mereka telah melakukan yang terbaik.

“Dia datang awal, baca skrip, sentiasa bersedia dan usaha yang terbaik dalam menjayakan skrip,” kongsinya.

Baca Artikel Lain; 

https://www.mediahiburan.my/untuk-gred-c-d-saya-salahkan-diri-sendiri-fasha-sandha-syukur-bangga-jemyma-raih-10a-igcse-terkilan-tak-dapat-teman-belajar/

Fasha turut berharap  penonton serta peminatnya boleh terus memberikan sokongan kepada mana-mana pelakon yang bergandingan dengannya.

“Semoga para penonton dan peminat-peminat saya dapat bagi peluang dengan sesiapa yang bergandingan dengan saya.

“Sebab saya tak sempurna mana pun, hanya sedang menyampaikan karya dan menyampaikan mesej melalui skrip. Sayang semua,” luahnya lagi.

Kasih Yang Terkorban sebanyak 60 episod merupakan drama bersiri arahan Shahrulezad Mohameddin yang disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 petang di saluran Astro Prima.

Selain Fasha dan Johan, naskhah ini turut membariskan rakan pelakon lain seperti Josiah Hogan, Badron Munirah dan Sharmaine Alexander.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Nurdini Rosliza