Pelakon Zul Ariffin mengakui sukar untuk mendalami watak Ejim menerusi filem terbarunya, Tombiruo: Penunggu Rimba, adaptasi novel popular tulisan Ramlee Awang Murshid.

Bukan sahaja perlu menyesuaikan diri, selebriti berusia 31 tahun ini juga melalui proses diet ekstrem selain mengalami pelbagai kecederaan kerana melakukan aksi lagak ngeri.

“Sebenarnya, agak sukar untuk saya menterjemahkan watak Ejim. Lagi pula, watak ini terlalu misteri dan ia hanya bercakap apabila perlu.

“Jadi, untuk melaksanakannya, saya bukan saja baca novel tetapi juga buat rujukan pada penulisnya, Ramlee.

“Saya cuba membawa watak yang dah ada peminatnya sejak 20 tahun lalu dan karakter ini sangat mencabar,” katanya pada Media Hiburan.

Lantaran itu, Zul berhempas pulas mendapatkan susuk tubuh tegap demi menghidupkan karakter tersebut di layar perak.

Ads

“Terpaksalah saya ‘jual’ badan bagi mengisi imaginasi pembaca novel Tombiruo atau sekurang-kurangnya hampir menepati ciri-ciri Ejim yang bermain dalam minda khalayak.

“Lagipun, saya bukan saja-saja nak tunjuk badan tapi, itu memang kostum saya. Sekurang-kurangnya, saya boleh cakap saya bukanlah pelakon yang jual rupa (ketawa).

“Saya pun tak naklah lari sampai bergegar-gegar badan, tapi hanya nak nampak nice dan fit. Semua itu saya lakukannya sendiri dalam tempoh lima minggu,” katanya.

Tambahan pula, bintang filem J Revolusi ini juga diminta untuk memakai topeng khas dan bertutur dalam bahasa Kadazan Dusun.

“Sebenarnya, awalnya, saya rasa sangat pelik dan kekok saat memakai kostum Tombiruo kerana tak biasa.

“Penglihatan saya juga perlu dua kali ganda peka terutama dalam babak pertarungan bahkan ada masanya, rambut palsu yang saya pakai sangat mengganggu fokus.

“Namun, saya puas kerana ia satu perkara baru yang dapat saya lakukan sebagai pelakon,” katanya.

Pada masa sama, Zul mengakui ralat apabila tidak dapat melakukan aksi lagak ngeri sepenuhnya lantaran mengalami kecederaan slipped disc.

Ads

“Watak saya banyak melibatkan babak pertarungan tetapi mungkin kerana terlalu teruja saya cedera.

“Ralat juga kerana seboleh-bolehnya saya ingin lakukan sendiri aksi lagak ngeri tetapi atas nasihat doktor saya terpaksa melupakan hasrat itu.

“Akibat kejadian itu juga saya terpaksa berehat selama lapan bulan dan melakukan fisioterapi bagi memastikan kecederaan itu benar-benar pulih,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon drama bersiri Rindu Awak 200% ini menjadikan kejadian itu sebagai pengajaran pada masa hadapan agar lebih berhati-hati dan membuat persediaan awal sebelum melakukan aksi berbahaya.

Selain Zul, Tombiruo: Penunggu Rimba turut membariskan pelakon hebat seperti Datuk M.Nasir, Faizal Hussien, Farid Kamil, Nabila Huda, Hasnul Rahmat dan Dynaz Mokhtar serta akan menemui penonton di pawagam bermula 12 Oktober depan.

Ads

Dalam perkembangan lain, Zul sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri adaptasi novel, Titian Cinta di samping Farah Nabila untuk TV3.

https://youtu.be/D_HEHyl0JSY

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI