
Pelawak dan pelakon, Zizan Razak tampil bersuara selepas gambarnya tular sehingga dijadikan bahan ‘meme’ di aplikasi Threads sejak beberapa hari lalu.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Zizan atau nama sebenarnya, Mohd Razizan Abdul Razak mendedahkan dia tidak kisah sekiranya gambarnya dijadikan bahan gurauan di media sosial.
Bagaimanapun, dia menegaskan setiap bentuk jenaka perlu mempunyai batas dan tidak melanggar hukum agama sehingga menyentuh sensitiviti.
“Assalamualaikum kepada seluruh warga internet dan mereka yang mengenali diri ini. Tujuan posting adalah untuk meluahkan dan memberi tahu yang saya ni memang seorang yang sporting dan juga fun akan tetapi ada tahapnya.
“Berkenaan dengan gambar saya yang viral beberapa harini diedit dan diubah menjadi kelakar boleh tetapi biarlah berpada dan tidak melanggar hukum agama Islam,” kongsinya.
Baca Artikel Lain;
Menerusi hantaran sama, pelakon filem Polis Evo itu turut meluahkan rasa kurang senang apabila terdapat segelintir pihak yang didakwa telah menggunakan gambarnya untuk mempromosikan produk tanpa mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.
Menurutnya, tindakan tersebut bukan sahaja tidak beretika, malah bertentangan dengan hukum agama kerana melibatkan penggunaan imejnya tanpa keizinan serta tanpa sebarang bayaran.
“Dan ada juga pihak yang mengambil kesempatan bertujuan mempromosikan produk masing-masing tanpa meminta izin mahupun bayaran dikenakan dan itu totally haram pada pendapat saya.
“So renung renungkanlah jika ingin berniaga secara halal,” jelasnya lagi.
Terdahulu, nama Zizan menjadi bualan hangat di aplikasi Threads apabila beberapa foto lamanya disunting menjadi pelbagai ‘meme’, sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.