
Pelakon Zara Zya tampil menegur tindakan segelintir lelaki berstatus suami orang yang didakwa cuba mendekatinya menerusi mesej langsung (DM) di media sosial.
Menurut Zara, dia tidak mempunyai masalah untuk memberi respons kepada sesiapa sahaja, namun tetap mengambil kira kesan yang mungkin berlaku dalam jangka masa panjang.
“Saya tiada masalah untuk memberi respons, namun saya tetap memikirkan tentang kesannya untuk masa hadapan.
“Saya agak bimbang kerana kita tidak mengetahui isi hati orang lain,” katanya kepada MH.
Zara berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama berjudul Sekali Lagi Bahagia yang berlangsung di A Quiet Place, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Malah, Zara turut mengingatkan orang ramai agar tidak melampaui batas sehingga boleh menimbulkan salah faham.
“Ramai yang DM saya. Cuma kalau boleh, untuk suami orang, tidak perlulah ‘menggatal’, risau saya.
“Kadangkala, saya juga ada nasihatkan dalam siaran langsung untuk tidak melebih-lebih dan hormatilah isteri masing-masing.
“Ada perkara yang boleh dijadikan gurauan, dan ada juga yang tidak,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, pelakon drama Luka Di Hujung Setia itu mendedahkan dia sering menerima DM daripada pelbagai lapisan umur, termasuk golongan muda.
“Pelbagai peringkat umur. Ada juga dalam kalangan kanak-kanak yang mungkin sekadar mengikut ‘trend’.
“Rupanya baru darjah enam DM mahu berkenalan dengan memanggil saya ‘kakak’,
“Tetapi saya faham, ada yang benar-benar serius dan ada juga yang sekadar mengikut ‘trend’,” jelasnya.
Mengulas soal peribadi, Zara mengambil pendekatan untuk lebih tenang dalam soal jodoh dan enggan terburu-buru.
“Insya-Allah, soal jodoh itu akan tiba pada waktu yang sesuai. Berdasarkan pengalaman, saya belajar untuk tidak terburu-buru.
“Pada fasa ini, saya hanya menginginkan ketenangan. Jika ada jodoh, saya akan teruskan dan memaklumkannya kepada umum.
“Saya tidak lagi seperti dahulu yang sering berkongsi tentang hubungan, seperti keluar makan ‘candle light dinner’ atau membeli-belah.
Tambah Zara, perubahan tersebut berlaku disebabkan oleh faktor usia dan hasil pengalaman selain ingin fokus kepada diri sendiri.
“Kini, saya lebih memberi fokus kepada kehidupan peribadi.
“Saya memilih pendekatan ini disebabkan pengalaman dan juga faktor usia.
“Saya kini berusia 41 tahun, jadi saya tidak lagi mahu mengambil sesuatu perkara secara ringan atau tergesa-gesa.
“Saya lebih memilih untuk menjadi tenang dan sabar,” katanya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.