Berita

Zahnita Wilson Sahkan Sudah Bertunang, ‘Mr F’ Berstatus Duda Tanpa Anak – “Dia Bukan Orang Industri.”

Share

Pelakon dan model, Zahnita Wilson mengesahkan dirinya kini sudah mengikat tali pertunangan dengan lelaki pilihan hati, di dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung baru-baru ini.

Bagaimanapun, Zahnita mengakui masih belum bersedia untuk mendedahkan identiti bakal suaminya itu kepada umum.

Menurut Zahnita, dia kini sedang melalui fasa kehidupan yang membahagiakan dan bersyukur atas segala perancangan Allah SWT.

“Ya, saya sudah bertunang. Alhamdulillah, saya kini berada dalam fasa bahagia.

“Buat masa ini, saya belum bersedia memperkenalkan siapa dia kepada umum. Dia bukan orang industri. Cukuplah saya beritahu nama pangkalnya ialah ‘F’.

“Kami mula berkenalan sejak beberapa bulan yang lalu,” katanya kepada MH.

Pelakon filem Gila-Gila Pengantin Remaja itu berkata demikian ketika ditemui pada acara Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 yang menampilkan Rizman Ruzaini di KLCC, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Tertarik Dengan Sikap Memahami & Penyayang

Dalam pada itu, Zahnita mendedahkan antara faktor yang membuatkan dia tertarik terhadap tunangnya ialah sifat lelaki berkenaan yang penyayang, memahami serta mudah diajak berkomunikasi.

Menurut Zahnita, tunangnya juga merupakan seorang duda tanpa anak.

“Dia seorang yang sangat memahami saya. Kami mudah berkomunikasi dan itu antara perkara yang membuatkan saya yakin untuk melangkah ke fasa seterusnya,” katanya lagi.

Percaya Bekas Suami Jaga Anak-Anak Dengan Baik

Mengulas mengenai keputusannya menyerahkan hak jagaan anak-anak kepada bekas suami, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor, Zahnita percaya keputusan tersebut adalah yang terbaik demi masa depan mereka.

Zahnita menambah, ketika ini dia memilih untuk memberi fokus kepada diri sendiri, selain meletakkan sepenuh kepercayaan kepada bekas suami serta Allah SWT dalam membesarkan anak-anak.

“Ketika ini, saya sedang santai dan menikmati hidup saya. Seperti anda semua tahu, anak-anak kini tidak lagi bersama saya. Kini, saya hanya fokus kepada diri sendiri.

“Saya percaya kepada bekas suami yang dia mampu untuk menjaga anak-anak dengan baik. Saya juga menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Allah SWT.

“Sudah tentu saya rasa rindu. Kami sudah berjauhan dalam beberapa minggu. Saya akan bertemu dengan mereka sebulan sekali.

“Lagipun, mereka kini tinggal jauh. Saya yang akan ke sana berjumpa mereka,” kongsinya lagi.

Terdahulu, Zackery memaklumkan pelakon itu telah menyerahkan hak penjagaan kekal ke atas keempat-empat anak mereka kepadanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram (IG), baru-baru ini.

Untuk rekod, Zahnita atau nama penuhnya Zahnita Doroty Hussein Wilson, 41, mendirikan rumah tangga pada tahun 2005 sebelum berpisah pada Ogos 2025.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, Zasharayna Ghouse, Zahlia Syawwal dan Abd Zayden Ghouse.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf