Warkah Untukku Berjaya Ke AJL32, Ara Johari Anggap Itu Rezeki

Semalam kecoh di media kejayaan lagu Warkah Untukku nyanyian Ara Johari lolos memasuki Anugerah Juara Lagu 32 dikritik hebat oleh segelintir netizen yang mengatakan lagu tersebut tidak layak untuk terpilih.

Pelbagai kritikan negatif yang dilemparkan padanya kerana tidak bersetuju dengan lirik lagu yang berulang. Malah mereka turut membandingkan lagu Ara bersama Siti Nordiana dan menganggap lagu Terus Mencintai lebih berkualiti dari lagunya.

Rentetan daripada kontroversi yang sedang hangat diperkatakan ini, MH berjaya mendapatkan Ara untuk bertanya tentang reaksinya ketika mendapat tahu tentang perkara ini.

Penyanyi cantik ini sememangnya tidak mudah melatah dengan kritikan pedas netizen malah dia menerima segala kata-kata negatif tersebut dengan positif.

IKLAN

“Ara terima benda tu dengan positif. Orang nak cakap apa pun biarkanlah, janji kita tahu yang kita dah buat yang terbaik dan kita akan buat yang lebih baik untuk AJL32 nanti,” katanya dengan penuh semangat.

Lagu Warkah Untukku telah dibanding-bandingkan dengan lagu Terus Mencintai oleh netizen dan Ara memberitahu dirinya akui lagu nyanyian Siti Nordiana itu memang sebuah lagu yang sangat bagus.

“Memang lagu tu sangat-sangat bagus. Terus Mencintai is one of my favourite juga tapi Ara rasa lagu Warkah Untukku juga ada kekuatan tersendiri dan bagi Ara kekuatan lagu ini mungkin pada maksud lagu dan cara pembawakan Ara untuk lagu ini.

 

“Lagu Terus Mencintai pun memang tak kurang hebat juga cuma mungkin rezeki tak berpihak pada lagu tu,” katanya kepada MH.

Kata Ara lagi selepas isu ini menjadi hangat di media sosial semalam, Siti Nordiana atau lebih senang dengan panggilan Nana telah menghubunginya untuk bercakap hal ini.

Menurut Ara, Nana berkata kepadanya untuk tidak mengambil pusing dengan apa yang netizen katakan apabila lagu mereka dibanding-bandingkan.

Hubungan dua selebriti ini juga sedikit pun tidak terganggu dengan kritikan pedas netizen.

IKLAN

“Semalam Siti Nordiana pun ada masej Ara cakap pasal isu ni dan dia cakap tak apa la orang nak cakap apa biar je lah tapi kitorang tak ada apa-apa pun, kitorang ok je,” katanya lagi.

Dalam pada itu sempat juga MH bertanyakan tentang perasaan Ara apabila dapat terpilih untuk ke pentas AJL32 memandangkan ini merupakan kali pertama buat penyanyi ini membuat persembahan di pentas berprestij ini.

“Sebenarnya dari kecil lagi Ara sangat-sangat mengidamkan untuk menyanyi di atas pentas AJL.

 

“Tapi masa Ara mula-mula masuk Akademi Fantasia dulu, Ara tak pernah terbayang pun Ara akan dapat masuk ke AJL tapi Alhamdulillah rezeki Ara kali ni dapat menyanyi di pentas besar itu dan Ara akan buat sehabis baik,” katanya.

MH juga ada bertanyakan tentang persiapan Ara untuk menghadapi pentas AJL32 itu nanti.

“Ara memang tak prepare apa-apa pun lagi buat masa ni sebab masih terkejut dengan keputusan tu cuma Ara akan ke kelas vokal dan Ara ada nak buat a few things yang Ara nak masa persembahan malam tu nanti,” katanya lagi.

Akhir kata dari penyanyi ini tentang harapannya di AJL32 nanti, dia berkata dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang cuma dia berharap dapat membuat persembahan yang baik.

“Ara tak harapkan untuk menang cuma Ara harapkan Ara akan dapat buat yang terbaik dan buktikan kepada semua orang yang Ara boleh buat itu saja,” katanya.